Tentera Darat mengesahkan dua anggotanya maut terkena bom ketika menjalani latihan membaling grenad di Kem Hobart, Gurun, Kedah pagi tadi.
Insiden di Kem Hobart
Cawangan Komunikasi Strategi Tentera Darat dalam kenyataan berkata insiden berlaku kira-kira 10.57 pagi semasa latihan membaling grenad membabitkan Platun Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri.
Dua anggota yang terlibat adalah Norazmi Abu Bakar berpangkat Koperal daripada 6 Rejimen Askar Melayu Diraja dan Siti Khadijah Sungip berpangkat Prebet daripada 1 Skuadron RAJD.
Dikejarkan ke hospital
“Kedua-dua anggota dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” kata kenyataan itu.
“Jenazah akan dihantar ke hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk menjalani proses bedah siasat,” tambahnya.
Siasatan diperintahkan
Panglima Tentera Darat, Azhan Md Othman mengarahkan siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut. Beliau memberi jaminan bahawa segala aspek keselamatan latihan akan terus diberi perhatian dan penambahbaikan sewajarnya akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran rasmi tentera darat,” katanya.
Azhan juga menzahirkan rasa dukacita di atas kehilangan dua warganya dan menyampaikan ucapan takziah buat keluarga mangsa serta mendoakan mereka bertabah dengan dugaan ini.



