KUALA LUMPUR, 26 April — Perseteruan politik antara pemimpin UMNO dan PAS semakin memanas selepas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka membalas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang menyifatkannya sebagai 'budak catur'.
Dr Akmal tidak gentar
ADUN Merlimau, Datuk Dr Akmal Saleh, yang juga Ketua Pemuda UMNO, berkata beliau tidak akan berundur jika perkara itu dibawa ke mahkamah. "Jadi kalau nak pergi mahkamah, kita boleh lawan jugak, tapi YAB kata kita budak catur, biarlah," katanya dalam hantaran Facebook hari ini, seolah-olah menjawab Sanusi.
Dr Akmal turut menuduh ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis, mengabaikan tugas sebagai wakil rakyat dengan tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka. Beliau mendakwa Jailani hadir di acara politik walaupun dilaporkan bercuti sakit.
Kritik terhadap Sanusi
"Kepada YAB Sanusi, sebelum tuan menghina orang lain, saya minta tuan bagi ceramah dan nasihatkan ADUN Rembia yang lompat ke PAS. Nasihatkan dia jangan ponteng sidang DUN," kata Dr Akmal.
Kenyataan Dr Akmal ini susulan ucapan politik Sanusi yang sebelum ini mencetuskan kontroversi dan laporan polis. Pemimpin kanan PAS itu dilaporkan menyeru rakyat Malaysia supaya tidak mempercayai dakwaan 'budak catur' UMNO yang kononnya parti itu menolak DAP.
DAP merupakan parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang kini bergabung dengan UMNO untuk mentadbir negara.



