PETALING JAYA: Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, mencadangkan agar pilihan raya Parlimen dan negeri (PRN) diadakan secara berasingan kerana ia mampu menggandakan peluang pengundi untuk menyuarakan tuntutan kepada kerajaan dalam tempoh lima tahun.
Menurut laporan Borneo Post, Ahli Parlimen Stampin itu berkata apabila pengundi dapat mengundi dua kali, kerajaan akan memberi lebih tumpuan kepada isu-isu yang dihadapi rakyat demi memastikan mereka mendapat sokongan.
“Saya cenderung memilih pilihan raya berasingan kerana pengundi berpeluang dua kali untuk menyuarakan tuntutan mereka kepada kerajaan dalam tempoh lima tahun,” kata Chong.
Beliau berkata demikian seminggu selepas seorang pemimpin kanan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyuarakan sokongan agar Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan serentak dengan PRN Sarawak ke-13. Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata mengadakan dua pilihan raya serentak mampu menjimatkan dana awam yang besar.
Pada September tahun lalu, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, mencadangkan PRN 11 negeri di Semenanjung diadakan serentak bersama PRU16. Loke berkata, mengadakan pilihan raya pada masa sama dapat menjimatkan kos dan menyelaraskan semula penggal kerajaan persekutuan dan negeri.
Data yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menunjukkan kerajaan membelanjakan RM725 juta untuk mengadakan PRU15, manakala enam PRN yang diadakan secara berasingan melibatkan tambahan kos RM420 juta.



