Bekas pemimpin PAS ragui hasrat kerjasama semula dengan Umno
Bekas pemimpin PAS ragui kerjasama semula Umno

Seorang bekas pemimpin PAS meragui hasrat parti itu mahu kembali bekerjasama dengan Umno melihat kepada ‘ragam’ semasanya, merujuk ‘perkahwinan’ PAS dengan Bersatu yang hanya bertahan lima tahun. Khairuddin Aman Razali yang kuat menyokong penyatuan PAS dan Umno sehingga keluar parti itu pada Mac 2022 selepas usaha berkenaan gagal, mempertikaikan modal perpaduan Melayu dicanang PAS dalam situasi Bersatu ‘diceraikan’ oleh parti itu, semalam.

Keraguan terhadap etika politik PAS

Menurut bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu, rakyat Malaysia menyaksikan sendiri bagaimana hubungan yang suatu ketika dipenuhi pujian bertukar menjadi medan kecaman apabila kerjasama antara PAS dan Bersatu berakhir semalam. “Bagaimana dapat dipercayai PAS untuk kembali bekerjasama jika rakyat Malaysia dengan jelas melihat bagaimana rapuhnya hubungan antara PAS dan Bersatu? “Kalau dulu di saat hubungan baik, pelbagai pujian dilambung tetapi apabila bercerai, pelbagai kejian dilontarkan. Ini bukan akhlak Islam,” kata Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno itu dalam kenyataan.

Keputusan PAS putuskan kerjasama dengan Bersatu

Semalam, Presiden PAS Hadi Awang mengumumkan partinya yang juga komponen Perikatan Nasional (PN) memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu. Parti itu menilai kerjasama dengan Bersatu setelah mengkaji satu persatu tindakan parti tersebut, mengambil contoh situasi politik di Negeri Sembilan dan Perlis, serta pendirian berkenaan usaha membawa masuk parti tertentu ke dalam PN. Walaupun mengakui menyokong kerjasama antara PAS dan Umno, Khairuddin berkata beliau mempunyai keraguan terhadap masa depan hubungan itu berdasarkan etika politik yang dipamerkan PAS ketika ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pandangan Khairuddin tentang hubungan Umno

Beliau turut berpandangan hubungan Umno dengan PKR dan Amanah ketika ini formula lebih baik untuk kebangkitan parti itu, walaupun mengakui masih mempunyai pandangan kritikal terhadap DAP. “Halangan kepada kerjasama PKR dan Amanah ialah tindak-tanduk DAP yang sangat merimaskan dan tidak mesra Melayu dan Islam,” katanya. Menurutnya, walaupun bukan lagi ahli PAS, adalah menjadi tanggungjawab untuknya menegur parti itu selagi ia membawa nama Islam. “Kepada ahli PAS, saya tahu anda hanyalah pengikut yang ikhlas. Kepada pemimpin, sayangilah pengikut anda yang tulus ikhlas dan jangan hampakan mereka. “Saya juga pendokong perpaduan Melayu Islam merentasi parti demi Islam. Sebaiknya Umno, PAS, PKR dan Amanah duduk semeja,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga