Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mendakwa tidak dapat mengakses sistem MyKhas sejak 29 Mei lalu yang menjejaskan urusan berkaitan peruntukan kawasan dan Projek Mesra Rakyat. Beliau merupakan Ahli Parlimen kerajaan kedua yang mendakwa disekat peruntukan selepas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.
Lee berkata, beliau amat kecewa kerana tiada sebarang penjelasan lisan atau bertulis diberikan sebelum akses kepada peruntukan kawasannya disekat. “Setakat pengetahuan saya, ini mungkin kali pertama dalam sejarah negara apabila dua Ahli Parlimen kerajaan secara berturut-turut tidak lagi mempunyai akses kepada saluran peruntukan kawasan.
“Namun, saya ingin mengemukakan satu persoalan yang amat mudah: Apakah sebenarnya kesalahan yang telah saya lakukan?” soalnya dalam catatan Facebook sambil menambah beliau menerima keadaan itu dengan tenang. Tegasnya, beliau tidak pernah mengumumkan keluar blok kerajaan atau mengundi menentang kerajaan di Parlimen.
Beliau berkata, jika sekatan itu ada kaitan kehadirannya pada majlis pelancaran parti baharu dua bekas pemimpin PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad pada 17 Mei lalu, maka pimpinan parti perlu memberi penjelasan secara terbuka. “Jika tindakan saya dianggap melanggar disiplin parti, tidak setia kepada parti atau menjejaskan kepentingan parti, maka proses sewajarnya perlu dilaksanakan.
“Surat amaran boleh dikeluarkan, surat tunjuk sebab boleh diminta, malah siasatan disiplin juga boleh dijalankan mengikut saluran ditetapkan.” Menurutnya, rakyat berhak mempersoalkan sama ada wujud amalan dua darjat dalam pengagihan peruntukan kawasan, jika Ahli Parlimen kerajaan hilang akses kepada peruntukan atas faktor politik tidak dijelaskan.
Jelasnya, peruntukan kawasan bukan manfaat untuk Ahli Parlimen, sebaliknya sumber penting bagi membantu komuniti setempat dan golongan memerlukan, selain memastikan pusat khidmat rakyat dapat beroperasi dengan berkesan. “Apabila peruntukan disekat, pihak yang paling terkesan bukanlah wakil rakyat, tetapi rakyat yang memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya sambil mempersoalkan komitmen kerajaan terhadap janji Pakatan Harapan berhubung pemberian peruntukan kawasan secara adil kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik.



