PAS, Bersatu perlu tentu hala tuju sendiri tanpa terikat, kata Tuan Ibrahim
PAS, Bersatu perlu tentu hala tuju sendiri

Keputusan PAS menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu adalah untuk memberi ruang kepada kedua-dua parti menentukan hala tuju masing-masing tanpa terikat antara satu sama lain, kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau menegaskan bahawa tindakan itu tidak bermakna PAS mahu memutuskan hubungan atau silaturahim dengan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN).

“Keputusan ini bukan bermaksud PAS mengutamakan permusuhan, sebaliknya ia memberikan ruang kebebasan bagi setiap parti untuk menentukan hala tuju masing-masing. Hubungan dan ukhuwah antara ahli serta pimpinan kedua-dua parti akan terus terjalin dan terpelihara. Saya berharap kita akan terus bersatu demi kebaikan ummah,” katanya dalam satu kenyataan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Isnin lalu, PAS secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu, beberapa minggu selepas Presiden PAS, Hadi Awang memberi amaran bahawa kesabaran ‘ada batas’. Kini, PAS mengemudi PN apabila Naib Presiden, Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai pengerusi gabungan itu pada 22 Feb lalu, menggantikan Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa keputusan tersebut juga dibuat susulan pelbagai kekangan dan kesukaran yang dialami sepanjang tempoh kerjasama, terutama berkaitan gerak kerja di peringkat akar umbi. Beliau memberi contoh insiden di Melaka, di mana tindakan PAS negeri menjemput bekas pemimpin Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin, ke program anjuran PAS tidak disenangi oleh rakan daripada parti itu.

“Justeru, jika perjemputan seperti itu pun sudah menimbulkan rasa tidak selesa, apatah lagi jika ia melibatkan pasukan dikenali sebagai ‘Reset’ untuk duduk bersama dalam gerak kerja PN,” katanya.

Tuan Ibrahim turut menyentuh mengenai kegagalan usaha menyatukan parti lain seperti Berjasa, Pejuang dan Perkasa ke dalam PN yang menemui jalan buntu akibat bantahan daripada Bersatu. “Mungkin Bersatu khuatir penerimaan parti ini akan membuka ruang kepada bekas pimpinan mereka untuk menyelinap masuk melalui parti tersebut,” katanya.

Menurutnya, ketegangan hubungan juga dipengaruhi oleh tindakan Bersatu di Perlis dan Negeri Sembilan, serta kenyataan provokatif sebahagian pemimpin parti itu yang menyerang PAS secara terbuka.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga