PETALING JAYA: Buat masa ini, tiada pilihan raya negeri mengejut di Negeri Sembilan walaupun 14 anggota dewan undangan negeri (ADUN) Barisan Nasional menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun. Walaupun beliau hanya mendapat sokongan 17 daripada 36 ADUN, Aminuddin berkata beliau tidak bercadang untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya mengejut.
ADUN Sikamat itu berkata kerajaan minoriti boleh terus menjalankan tugas sehingga persoalan majoriti sokongan di DUN ditentukan. Beliau berkata BN boleh mengemukakan usul undi tidak percaya terhadapnya di DUN daripada hanya mengumumkan penarikan sokongan.
Bagaimanapun, wakil BN dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah mendesak agar persidangan DUN ditangguhkan. “Jika mereka merancang ini dari awal, mereka sepatutnya membenarkan persidangan DUN diteruskan. Saya bukan yang mencadangkan persidangan ditangguhkan, mereka yang buat. (Jika tidak berbuat demikian) mereka boleh mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap saya hari ini,” katanya pada sidang akhbar di Seremban.
Aminuddin berkata permintaan untuk menangguhkan prosiding dibuat oleh empat exco BN, termasuk exco kanan Jalaluddin Alias, pada malam sebelum persidangan dijadualkan bermula pada 23 April. Naib Presiden PKR itu berkata tiada tarikh baru ditetapkan untuk persidangan akan datang, tetapi ia boleh diadakan pada bila-bila masa dalam tempoh enam bulan akan datang.
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, ADUN Chennah, berkata kesemua 11 ADUN DAP terus menyokong Aminuddin sebagai menteri besar. Beliau juga mengingatkan BN bahawa mereka dipilih berdasarkan pakatan perpaduan dengan PH, dan memberi amaran terhadap pembentukan “kerajaan pintu belakang” dengan menjatuhkan Aminuddin.
“Kerajaan ini diberi mandat oleh rakyat Negeri Sembilan. PH menang 17 kerusi dan BN menang 14 kerusi setelah berkempen atas platform kerajaan perpaduan. Jika mana-mana pihak menarik sokongan sekarang, kami anggap itu tidak menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat,” kata Loke.
Terdahulu, lima ADUN Perikatan Nasional menawarkan bantuan kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri baharu. DUN Negeri Sembilan yang beranggotakan 36 orang terdiri daripada 17 ADUN PH, diikuti 14 ADUN BN dan lima ADUN PN. Majoriti 19 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.



