Tamparuli, 9 Mei — Tamparuli telah mencipta sejarah apabila proses pemilihan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai 'Pilihan Raya Jawatankuasa Kampung Serentak Paling Banyak Kampung'.
Ahli Parlimen Tuaran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Wilfred Madius Tangau, berkata pengiktirafan itu diberikan di bawah kategori yang melibatkan pemilihan jawatankuasa kampung secara serentak. Beliau menjelaskan bahawa pemilihan JKKK melibatkan sejumlah 94 buah kampung di lima mukim yang diadakan secara serentak dalam kawasan DUN Tamparuli, iaitu Mukim Tenghilan, Topokon, Mangkaladoi, Pantai dan Mukim Tamparuli.
“Pengiktirafan ini adalah satu kebanggaan tinggi bagi seluruh rakyat Tamparuli kerana ia membuktikan bahawa masyarakat luar bandar juga mampu melaksanakan proses pilihan raya komuniti secara teratur, telus dan berintegriti.
“Ia juga mencerminkan komitmen semua pihak, termasuk Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, UPPM, petugas pilihan raya, serta komuniti kampung yang bersama-sama memastikan kejayaan proses ini,” katanya pada Majlis Penyampaian Surat Lantikan JKKK di Dewan Serbaguna Daerah Kecil Tamparuli di sini.
Sijil MBOR telah disampaikan oleh wakilnya, Dr. Stanley Tulis Missun, kepada Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Hannevy W. Harry, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Proses Pemilihan JKKK bagi kawasan DUN tersebut, pada 15 Mac 2026.
Terdahulu, Majlis Penyampaian Surat Lantikan JKKK telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rubin Balang. Rubin turut menyaksikan penyampaian surat lantikan oleh Madius kepada wakil-wakil JKKK dari setiap mukim dalam kawasan DUN.
“Kami bersyukur atas sokongan yang diberikan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar, yang membolehkan proses pemilihan JKKK dijalankan dengan jayanya.
“Pelaksanaan pilihan raya serentak ini juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh sistem tadbir urus kampung yang lebih demokratik dan inklusif,” tambah Madius.
Dalam perkembangan berkaitan, Madius turut mengumumkan pelaksanaan Pertandingan Program Kampung Lestari di peringkat Daerah Kecil Tamparuli, dengan kerjasama rakan strategik Zero Waste Sabah dan Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).
Beliau berkata program itu memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti yang mampan melalui pengukuhan ekonomi kampung, pemeliharaan adat dan budaya, pengurusan sisa, pemuliharaan alam sekitar, dan kelestarian komuniti secara keseluruhan.



