JOHOR BAHRU, 18 Mei — Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi semalam menafikan beliau dimaklumkan mengenai sidang khas DUN yang dikatakan akan membubarkan DUN pada 24 Jun seperti yang dilaporkan oleh media.
Apabila dihubungi oleh Bernama, beliau berkata perkara itu perlu disahkan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sendiri.
“Tanya Menteri Besar, saya pun belum tanya Menteri Besar. Mungkin ada peruntukan tambahan untuk Bantuan Kasih Johor bagi mereka yang terlepas pandang,” katanya secara ringkas melalui WhatsApp.
Spekulasi mengenai sidang khas DUN yang dikaitkan dengan pembubaran DUN Johor timbul selepas satu jemputan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) berhubung sidang pada tarikh itu tular di media sosial.
Semalam, Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor mengumumkan melalui hantaran di Facebook bahawa BN akan bertanding di semua 56 kerusi DUN dalam pilihan raya negeri akan datang.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi Umno Johor dan BN mengenai hala tuju parti sebelum pilihan raya.
Tempoh pentadbiran Kerajaan Negeri Johor dijadualkan berakhir pada April 2027. — Bernama



