KUCHING: Sarawak merancang untuk mengambil alih lebih banyak entiti dan aset strategik kerajaan persekutuan bagi memperkukuh ekonomi negeri selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030), kata Premier Sarawak Abang Johari Openg.
Beliau berkata langkah itu penting dalam memperluas dominasi ekonomi negeri, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Sarawak, terutamanya dalam sektor teknologi dan industri baharu.
Menurut Abang Johari, dalam tempoh enam tahun lalu, Sarawak telah mengambil alih beberapa aset dan entiti strategik daripada kerajaan persekutuan, termasuk Empangan Bakun, Pelabuhan Bintulu dan MASwings Sdn Bhd.
“Kami juga menubuhkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), kami mengambil alih ekuiti di Affin Bank (untuk menjadi pemegang saham terbesar), dan kami mahu mengambil alih banyak lagi.
“Kami memperluas ekonomi berdasarkan PCDS. Ini bermakna peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching hari ini.
Abang Johari berkata transformasi ekonomi Sarawak kini bergerak ke arah ekonomi berteknologi tinggi yang memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui, automasi, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan industri semikonduktor.
Beliau menambah bahawa Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir dan profesional dalam pelbagai bidang termasuk aeroangkasa, teknologi digital dan industri cip semikonduktor.



