Sarawak akan ambil alih lebih banyak aset persekutuan untuk tingkat ekonomi
Sarawak ambil alih aset persekutuan tingkat ekonomi

KUCHING, 10 Mei — Sarawak merancang untuk mengambil alih lebih banyak entiti dan aset strategik kerajaan persekutuan bagi mengukuhkan ekonomi negeri selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030), kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Langkah penting perluas dominasi ekonomi

Beliau berkata langkah itu penting dalam memperluas dominasi ekonomi negeri, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Sarawak, terutama dalam sektor teknologi dan industri baharu.

Menurutnya, dalam tempoh enam tahun lepas, Sarawak telah mengambil alih beberapa aset dan entiti strategik daripada kerajaan persekutuan, termasuk Empangan Bakun, Pelabuhan Bintulu dan MASwings Sdn Bhd.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Petros dan Affin Bank antara pengambilalihan

“Kami juga menubuhkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), kami mengambil alih ekuiti di Affin Bank (menjadi pemegang saham terbesar Affin Bank Bhd) dan kami mahu mengambil alih banyak lagi.

“Kami mengembangkan ekonomi berdasarkan PCDS… ini bermakna peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Transformasi ekonomi berteknologi tinggi

Abang Johari berkata transformasi ekonomi Sarawak kini bergerak ke arah ekonomi berteknologi tinggi yang memberi tumpuan kepada tenaga boleh baharu, automasi, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan industri semikonduktor.

Menurutnya, Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir dan profesional dalam pelbagai bidang termasuk aeroangkasa, teknologi digital dan industri cip semikonduktor. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga