SHAH ALAM, 17 Mei — Polis telah menahan seorang lelaki berusia 75 tahun yang dipercayai terlibat dalam insiden langgar lari melibatkan tiga pejalan kaki di Jalan Pekan Baru, Bandar Baru Klang pada hari Jumaat.
Butiran penahanan
Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP S Vijaya Rao, berkata suspek ditahan kira-kira jam 11.40 pagi semalam berdasarkan maklumat daripada orang ramai berhubung kejadian yang mengakibatkan dua maut dan seorang cedera parah itu.
“Suspek kini ditahan dan akan direman untuk siasatan lanjut. Pemeriksaan mendapati lelaki tua itu tiada rekod jenayah atau dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes terbabit
Vijaya turut meminta mereka yang mempunyai maklumat tentang kes ini menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat trafik, Insp Ahmad Fadzli Abdullah di 017-5843860.
Semalam, Vijaya memaklumkan dua beradik perempuan maut manakala seorang remaja berusia 17 tahun cedera selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh tiga pejalan kaki dalam insiden langgar lari pada 15 Mei lalu.
Mangsa yang meninggal dunia adalah warga tempatan berusia 57 dan 62 tahun, manakala remaja yang cedera merupakan anak kepada salah seorang mangsa. — Bernama



