PUTRAJAYA, 8 Mei — Penyaksian anak bulan Zulhijjah bagi menentukan tarikh Aidiladha tahun ini telah ditetapkan pada hari Ahad, 17 Mei, di 29 lokasi seluruh negara.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tarikh rasmi Aidiladha akan diumumkan pada malam yang sama melalui siaran radio dan televisyen.
“Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa penentuan tarikh Aidiladha adalah berdasarkan kaedah rukyah dan hisab,” kata kenyataan itu.
Antara 29 lokasi yang terlibat termasuk Bangunan Baitul Hilal Sultan Ismail di Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Balai Cerap Negeri Sembilan (MAINS); Baitul Hilal Bukit Melawati di Kuala Selangor, Selangor; dan Baitul Hilal Bukit Jugra di Banting, Kuala Langat, Selangor.
Lokasi lain termasuk Balai Cerap Selangor di Sabak Bernam, Selangor; Baitul Hilal Pantai Pasir Panjang di Manjung, Perak; dan Pusat Falak Sheikh Tahir di Pantai Aceh, Pulau Pinang.
Di Kedah, lokasi yang terlibat ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah di Pulau Langkawi; dan Menara Alor Setar.
Lokasi lain ialah Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap KUSZA di Setiu, Terengganu; Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Kelantan; dan Bukit Kampong Tembeling di Kuala Krai, Kelantan.
Lokasi tambahan termasuk Menara Bangunan SEDC di Kota Bharu, Kelantan. Di Sarawak, lokasi yang terlibat ialah Pusat Falak Miri di Miri; Teluk Bandung di Kuching; dan Pusat Falak Bintulu di Bintulu.
Di Sabah, penyaksian anak bulan akan dijalankan di Balai Cerap Al-Biruni di Tanjung Dumpil, Putatan. Di Pahang, lokasi yang terlibat ialah Bukit Tanjong Batu di Nenasi, Gunung Brinchang di Cameron Highlands, dan Menara 188 di Kuantan.
Empat lagi lokasi ialah Menara Universiti Malaysia Sabah di Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; dan menara cerapan di Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis. — Bernama



