PETALING JAYA: Seorang lelaki maut selepas kenderaan berat yang dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam kolam buangan sisa di sebuah kilang sawit di Kampung Tersang, Raub, Pahang.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian
Mohamad Syariffudin Jemain, 37, dilaporkan lemas dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira jam 10 malam tadi. Ketua Polis Raub, Shahril Abdul Rahman, berkata kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang mengendalikan jentera penyodok dalam kawasan kilang kelapa sawit.
Menurutnya, ketika mengundur, jentera tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik dan terjunam ke dalam kolam berhampiran, menyebabkan mangsa tersepit dan lemas.
“Mangsa berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menurut laporan Sinar Harian. Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Operasi bomba dan penyelamat
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Salahuddin Isa, berkata lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
Jelasnya, sebuah jentera berat jenis Shovel didapati terjunam ke dalam kolam buangan sisa sawit yang berkeluasan 30 x 50 kaki persegi dan berkedalaman kira-kira 4.5 meter. Setibanya pasukan bomba di lokasi, beliau berkata mangsa telah dikeluarkan dari kolam oleh pekerja kilang.



