Komuniti Madani jadi mata dan telinga kerajaan di peringkat akar umbi
Komuniti Madani jadi mata dan telinga kerajaan di akar umbi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan bahawa Komuniti Madani mesti memainkan peranan aktif sebagai mata, telinga, lidah, kaki dan tangan kerajaan dalam memastikan setiap inisiatif dan bantuan sampai kepada kumpulan sasaran secara langsung di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, ahli Komuniti Madani yang dilantik memikul tanggungjawab besar untuk turun ke lapangan mendengar rungutan rakyat dan menerangkan dasar kerajaan negeri serta persekutuan dengan cara yang paling mudah difahami.

Fahmi menambah, kementerian akan mewajibkan siri latihan intensif melalui kerjasama dengan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) untuk melengkapkan ahli Komuniti Madani dengan kemahiran menghasilkan grafik dan teknik menjawab isu viral dengan berani tanpa rasa takut atau ragu-ragu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Salah satu aktiviti pertama yang kita selaraskan adalah turun ke pasar dan gerai. Saya mahu anda melihat sendiri isu seperti ketersediaan bungkus minyak masak bersubsidi atau stok diesel di stesen minyak.

“Sampaikan maklumat supaya intervensi segera dapat dilakukan setiap minggu,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan surat lantikan Komuniti Madani Kuala Lumpur dan Selangor di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Julina Johan.

Sementara itu, Fahmi turut mengingatkan ahli Komuniti Madani supaya sentiasa berwaspada terhadap taktik provokator di media sosial yang sengaja memanipulasi sentimen agama dan kaum melalui akaun palsu.

Seramai 234 ketua Komuniti Madani dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor menerima surat lantikan bagi penggal 2026/2027 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh rangkaian komunikasi komuniti di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Mengulas lanjut mengenai Komuniti Madani, Amirudin menekankan kepentingan respons pantas dalam tempoh 24 jam atau sekurang-kurangnya empat jam selepas sesuatu isu dibangkitkan bagi mengelakkan kekeliruan berpanjangan dalam kalangan orang ramai.

“Tugas kita sekarang adalah untuk menangkis apa yang telah disalahtafsirkan di luar sana.

“Kuasai alat, kuasai kandungan, dan pastikan keselarasan kita bergerak seiring sebagai satu unit kerajaan dan masyarakat untuk mempertahankan kebenaran mengenai sebarang fakta,” tambahnya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga