MUAR: Tawaran pekerjaan bergaji tinggi, perumahan mampu milik dan skim kesihatan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mendapat sambutan positif daripada pengundi, namun mereka mahu pelaksanaan dilakukan secara realistik dan seiring dengan keadaan semasa.
Pekerjaan Bergaji Tinggi Tarik Minat Pengundi Muda
Abdullah Mohamad, 24, dari Penggaram, Batu Pahat, menyambut baik inisiatif menyediakan 250,000 pekerjaan baharu bergaji tinggi dan bermaruah. Menurutnya, langkah itu dapat mengelakkan penghijrahan bakat dari Johor ke Singapura dan bandar-bandar besar lain, sekali gus membolehkan anak muda menetap serta memajukan kampung halaman sendiri.
“Saya harap pekerjaan dan gaji ditawarkan nanti betul-betul sesuai dan setimpal dengan kos sara hidup semasa,” katanya.
Seah Boon Thong, 67, dari Tangkak Jaya, Ledang, pula berpandangan inisiatif itu berkait rapat dengan penghijrahan anak muda Johor ke Singapura atau kawasan bandar lain kerana gaji di kampung halaman sering dianggap terlalu rendah. “Gaji perlu berpatutan untuk anak muda baru keluar universiti dan lepasan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET),” katanya.
Tawaran pekerjaan itu bakal direalisasikan dengan memanfaatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang antara komponen utamanya kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau dan industri bernilai tinggi. Usaha bersepadu juga akan dilaksanakan bagi merapatkan jurang kemajuan antara daerah bagi menjana pekerjaan dengan gaji bermaruah di seluruh Johor.
Inisiatif Perumahan dan Kesihatan Jadi Tumpuan
Sabariah Ali, 62, dari Kampung Istana, Batu Pahat, menyambut baik inisiatif perumahan seperti bantuan RM8,000 sebagai deposit rumah pertama anak Johor serta pembinaan 80,000 kediaman mampu milik dalam tempoh lima tahun. “Pada saya tawaran itu baik tapi kena tengok juga harga rumah itu berapa. Kalau harga melampaui kemampuan, walaupun ada bantuan pendahuluan, akhirnya tetap membebankan rakyat,” katanya.
Norlilawati Harun, 58, dari Parit Raja pula melihat inisiatif kesihatan dalam manifesto itu sebagai keutamaan pada masa kini terutama bagi golongan rentan. PH menawarkan Skim Kesihatan Johor sehingga RM100,000 setahun yang bakal memanfaatkan 500,000 orang dari kelompok B40, M40 dan orang kurang upaya (OKU) yang layak. “Ia boleh membantu rakyat mendapatkan rawatan lebih cepat dan meringankan beban jika ia boleh digunakan di pusat rawatan swasta,” katanya.
Bantuan Bayi Baru Lahir dan Taska
Hamsiah Hashim, 49, dari Penggaram, berpendapat bantuan RM1,000 kepada bayi baru lahir boleh menjadi permulaan simpanan untuk pendidikan anak. “Ibu bapa boleh menambah simpanan itu setiap tahun supaya anak mempunyai dana apabila melanjutkan pelajaran kelak. Kalau disimpan untuk masa depan, bila anak nak masuk universiti, boleh guna untuk bayar yuran pertama,” katanya.
Crystal Teoh, 48, dari Tangkak pula tertarik dengan inisiatif mewujudkan taska yang akan difokuskan di kawasan perindustrian, pejabat kerajaan dan komuniti. “Ini dapat membantu wanita kembali bekerja, terutama di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi terhadap pusat jagaan kanak-kanak,” katanya.



