KUALA LANGAT, 10 Mei — Polis telah menahan empat lelaki tempatan yang disyaki mencuri buah kelapa sawit di Kanchong Darat di sini selepas aktiviti mereka dipercayai dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV), menurut Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Mohd Akmalrizal Radzi, berkata polis menerima laporan pada kira-kira jam 6.30 petang Jumaat daripada seorang lelaki tempatan mengenai dua kenderaan mencurigakan yang dilihat di kawasan ladang kelapa sawit.
“Pemeriksaan terhadap rakaman CCTV mendapati empat suspek dipercayai mencuri buah kelapa sawit dan memuatkannya ke dalam kenderaan terlibat.
“Polis kemudiannya menahan keempat-empat suspek dan merampas barang-barang yang berkaitan dengan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Beliau berkata semua suspek, yang merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an dan 30-an, sedang disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Mohd Akmalrizal menambah siasatan masih dijalankan dan menggesa mereka yang mempunyai maklumat untuk menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Sementara itu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kanchong Darat mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang membantu menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam kecurian buah kelapa sawit berulang di ladang sekitar kampung tersebut.
Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, jawatankuasa itu berkata kecurian telah berlaku untuk beberapa tempoh dan menyebabkan kegelisahan di kalangan pekebun kecil tempatan.
“Kerjasama dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh orang ramai amat dihargai,” katanya.



