PETALING JAYA: Dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah yang dipecat daripada Bersatu semalam akan terus menjalankan tugas mereka dalam kerajaan negeri, kata Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor.
Sanusi mendedahkan bahawa Bersatu sebelum ini telah menulis surat meminta supaya Adun Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan Adun Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis digugurkan daripada jawatan mereka dalam kerajaan negeri. Abdul Razak merupakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, manakala Dzowahir adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri.
Menurut Sanusi, beliau turut membincangkan permintaan tersebut dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung parti, Azmin Ali semasa rumah terbuka Aidilfitri pada bulan lalu. Bagaimanapun, tiada tindakan diambil ketika itu kerana tiada sebab untuk berbuat demikian dan kedua-dua mereka masih lagi ahli Bersatu, lapor Berita Harian.
Kini setelah kedua-duanya dipecat oleh Bersatu, Sanusi berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan membincangkan perkara itu dengan lebih terperinci terlebih dahulu.
“Kita perlu bincangkan secara terperinci, bentangkan kepada Sultan, dan kemudian melalui prosedur yang ditetapkan. Buat masa ini, mereka masih menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.
Sanusi menambah bahawa kedua-dua Adun itu kini dianggap sebagai Adun bebas yang menyokong pentadbirannya.
Dzowahir dan Abdul Razak adalah antara tiga pemimpin yang dipecat daripada Bersatu semalam kerana melanggar perlembagaan parti serta kod etika dan kelakuan. Difahamkan, pemimpin yang dikenakan tindakan disiplin oleh parti itu adalah mereka yang sejajar dengan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, yang dipecat pada Februari lalu di tengah-tengah pergolakan kepimpinan dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.



