KUDAT, 9 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan khas berjumlah lebih RM31 juta untuk memacu pembangunan di Pulau Banggi, sekali gus memastikan penduduk pulau terbesar di Malaysia tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Beliau berkata, peruntukan melalui kerajaan persekutuan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri merangkumi pembangunan jalan raya, jambatan serta kemudahan kesihatan, pendidikan, keselamatan dan jeti.
Antara projek yang disebut termasuk menaik taraf jalan dan jambatan di Kampung Limbuak Laut, Kapitangan, Damaran dan Bayangan Laut, serta penambahbaikan balai polis Pulau Banggi dan kemudahan kesihatan di Klinik Kesihatan Karakit.
Menurut beliau, turut disenaraikan ialah projek menaik taraf asrama sekolah di Pulau Banggi dan Pulau Balambangan, pelaksanaan projek berkaitan keselamatan dan pertahanan negara oleh Kementerian Pertahanan, serta menaik taraf jeti awam Karakit di terminal feri.
“Saya mahu Pulau Banggi menjadi contoh kepada rakyat yang miskin tegar atau terpencil bahawa Kerajaan Madani ini bertanggungjawab menjunjung maruah dan kemampuan setiap warga,” katanya ketika berucap pada Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat Pulau Banggi di sini hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Hasan.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong dan Ahli Dewan Undangan Negeri Banggi Datuk Mohammad Mohamarin.
Menyentuh mengenai infrastruktur pengangkutan darat, Anwar berkata projek menaik taraf jalan Kampung Limbuak Laut ke Kampung Pengkalan Darat kini sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dengan kos hampir RM44 juta.
“Projek ini sangat penting kerana jalan raya yang baik akan membuka akses ekonomi, pendidikan dan kesihatan kepada penduduk di pedalaman pulau ini,” tegasnya.
Sementara itu, Perdana Menteri juga mengumumkan sumbangan tambahan kerajaan sebanyak RM1.25 juta yang akan diselaraskan oleh agensi di bawah Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Anwar berkata dana itu akan memberi manfaat kepada penduduk melalui pelaksanaan program pendidikan, pemerkasaan institusi, teknologi hijau, kesihatan dan pembangunan insan.
Beliau berkata, bagi mengukuhkan jaringan keselamatan dan kemudahan harian di kawasan pesisir pantai, kerajaan juga telah meluluskan peruntukan RM1 juta untuk menaik taraf jeti di Kampung Dogoton bagi kegunaan penduduk dan agensi penguatkuasaan.
“Kerajaan juga telah bersetuju menaik taraf jeti di Kampung Dogoton untuk kegunaan penduduk kampung dan agensi penguatkuasaan bernilai RM1 juta, yang akan dilaksanakan oleh ICU Jabatan Perdana Menteri,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa lokasi geografi pulau yang terpencil bukanlah alasan untuk masyarakat di kawasan itu terus ketinggalan, sebaliknya Kerajaan Madani memikul tanggungjawab besar untuk melindungi nasib semua rakyat tanpa mengira lokasi.
“Usaha berterusan akan sentiasa dilakukan untuk memastikan setiap warga negara berpeluang menikmati taraf hidup yang lebih baik daripada sebelumnya,” katanya. – Bernama



