KUDAT, 9 Mei — Datuk Mohammad Mohamarin masih ingat kenangan lebih 30 tahun lalu apabila anak nelayan itu bertemu pemimpin negara dan mendengar ucapan bersemangatnya ketika merasmikan batu asas bangunan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi di Pulau Banggi di sini.
Pada November 1994, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, menyampaikan mesej supaya belajar bersungguh-sungguh, justeru memberi inspirasi kepada beliau dan rakan-rakan lain untuk mengubah nasib diri dan keluarga.
Mohammad, 45, kini ADUN Banggi penggal ketiga, berkata kenangan itu sentiasa terpahat dalam dirinya sehingga menjadi antara titik permulaan perjuangan hari ini untuk mengubah nasib penduduk di sini.
Mohammad, yang antara kumpulan pertama pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah itu pada 1997, berkata tidak ramai pelajar mengenali Anwar kerana kurang pendedahan media ketika itu, tetapi mereka sangat teruja dengan kehadiran pemimpin negara.
"Pada masa itu, tidak ramai orang luar, apatah lagi pemimpin, datang ke Pulau Banggi, jadi kami sangat teruja untuk bertemu dan mendengar ucapan Datuk Seri (Anwar). Saya duduk betul-betul di hadapan pentas ketika itu.
"Kembali ke sini pasti menjadi detik gembira dan mengujakan untuk Datuk Seri. Ini juga peluang untuk Datuk Seri melihat sendiri kesan usaha beliau sebelum ini untuk Pulau Banggi dan apa yang diperlukan untuk masa kini dan akan datang," katanya kepada Bernama.
Anwar, yang tiba di Kota Kinabalu malam tadi dari Filipina, dijadualkan melawat Pulau Banggi hari ini, antara lain untuk mengunjungi SMK Banggi dan menghadiri acara bersama masyarakat setempat.
Sebagai anak jati Kampung Patanunan dan dibesarkan di Kampung Perpaduan di sini, kehidupan miskin sangat mendewasakan Mohamad.
"Saya seorang yang tahu kesusahan... bayangkan setiap cuti sekolah kami akan pergi ke laut dan tinggal di laut selama empat hingga lima hari. Jadi untuk mengubah kehidupan itu, salah satu caranya adalah melalui pendidikan," kata Mohammad, yang juga pengerusi Perbadanan Pemasaran Ikan Sabah (SAFMA), anak syarikat kerajaan negeri.
Oleh itu, beliau melihat SMK Banggi, satu-satunya sekolah menengah di pulau itu, memainkan peranan penting dalam merealisasikan hasrat tersebut dan mempunyai tempat istimewa di hatinya, malah antara yang menanam rumput untuk menutup kawasan sekolah.
Memahami sepenuhnya kesusahan masyarakat pulau, Mohammad bertekad mempertahankan nasib mereka, bermula dengan berkhidmat sebagai guru mendidik masyarakat di kawasan pulau dan sekitar Kudat selama lebih 10 tahun.
Kerjaya awalnya bermula pada 2006 sebagai guru di SK Balambangan, terletak di Pulau Balambangan, pulau berhampiran Pulau Banggi, sebelum dipindahkan berkhidmat di sekolah-sekolah di daerah Kudat.
Beralih ke politik sekitar 2017, Mohammad menjadikan agenda pemerkasaan pendidikan sebagai keutamaan pentadbirannya kerana beliau sedar ia adalah kunci utama untuk mengeluarkan masyarakat daripada kemiskinan.
Untuk menterjemahkan komitmen ini, pejabat ADUN Banggi kini mewujudkan inisiatif memberikan sumbangan tunai RM500 secara langsung kepada setiap anak Banggi yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Pegawai daerah Banggi, Jaslee Jaafar, berkata melalui siri mesyuarat penyelarasan dengan agensi terlibat, pihaknya melihat ia sebagai peluang keemasan untuk berkongsi pelbagai isu kemudahan tempatan untuk perhatian kerajaan persekutuan.
"Keperluan utama di pulau ini melibatkan infrastruktur asas kritikal seperti bekalan air, elektrik dan pembinaan jalan berskala besar, yang kos pelaksanaannya agak tinggi dan di luar kemampuan kewangan kerajaan negeri," katanya.
Oleh itu, beliau berharap kerajaan persekutuan dapat membantu menyelesaikan isu itu, lebih-lebih lagi bantuan pembangunan yang dihantar ke Banggi baru-baru ini dilihat sangat seimbang, merangkumi aspek infrastruktur, pendidikan dan keselamatan.



