19 kilang haram di Pulau Indah dirobohkan selepas beroperasi lebih 20 tahun
19 kilang haram Pulau Indah dirobohkan selepas 20 tahun

SHAH ALAM, 12 Mei — Sebanyak 19 buah kilang haram di Pulau Indah, Klang telah dirobohkan termasuk pemotongan bekalan utiliti melalui Operasi Penguatkuasaan Perobohan Bersepadu bagi memastikan pematuhan industri terhadap undang-undang tanah negeri Selangor.

Operasi bersepadu libatkan 300 anggota

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Sue Lim berkata operasi yang melibatkan 300 anggota dari pelbagai agensi itu dijalankan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara terhadap premis yang didapati beroperasi tanpa pematuhan sewajarnya.

“Berdasarkan maklumat dari Pejabat Daerah dan Tanah Klang, pengusaha terlibat telah menjalankan kilang tanpa kebenaran di tapak tersebut dalam tempoh yang lama, dianggarkan lebih 20 tahun.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Pemeriksaan juga mendapati tiada rekod Lesen Pendudukan Sementara (LPS) pernah dikeluarkan kepada mana-mana pemilik kilang di tapak berkenaan. Beberapa permohonan pengambilan tanah yang diterima sekitar 2019 hingga 2020 juga ditolak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Proses libat urus bermula awal 2025

Menjelaskan lanjut, Ng berkata tindakan itu tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa, kerana proses libat urus awal dan arahan pengosongan tapak telah dimulakan pada awal tahun 2025, sebelum notis pertama dikemukakan pada 3 Mac 2025.

Beliau berkata lawatan tapak, pemantauan, pemasangan kain rentang dan pengumuman juga dijalankan pada 19 September 2025, selain penyerahan atau penampalan notis akhir bertarikh 7 April 2026, dan penetapan tarikh akhir pengosongan sebelum operasi perobohan pada 10 Mei 2026 dilakukan.

“Dalam tempoh itu, kerajaan negeri juga mengambil kira pandangan, permohonan dan rayuan penangguhan daripada pihak berkepentingan untuk memberi ruang yang munasabah bagi menguruskan pemindahan operasi, pekerja, aset dan peralatan syarikat masing-masing.

“Namun, selepas tempoh yang munasabah diberikan, undang-undang tetap perlu ditegakkan. Tanah kerajaan mesti dipelihara, kawasan perindustrian mesti disusun semula dan kepentingan awam tidak boleh terus terjejas oleh aktiviti yang tidak mematuhi undang-undang,” katanya.

Kesan kilang haram terhadap industri

Ng berkata kewujudan kilang tanpa kebenaran menjejaskan imej kawasan perindustrian, kawalan alam sekitar, sistem perparitan, keselamatan dan akses logistik, serta mewujudkan persaingan tidak adil bagi pengusaha sah yang telah mematuhi syarat lesen, cukai, kelulusan pembangunan dan keperluan teknikal.

Beliau berkata penguatkuasaan itu penting untuk memulihkan integriti tanah kerajaan dan menyusun semula kawasan perindustrian dengan lebih teratur.

“Selepas operasi perobohan selesai, tumpuan akan diberikan kepada pembersihan tapak, pengurusan sisa perobohan, pemantauan keselamatan dan penilaian keperluan pemulihan tanah.

“Tapak tersebut kemudiannya akan dikaji semula dalam rangka pembangunan yang lebih terancang, selaras dengan Pelan Tempatan, garis panduan perancangan dan keperluan teknikal pihak berkuasa,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga