Umno N Sembilan jadi pembangkang: Pertaruhan besar atau pedang bermata dua?
Umno N Sembilan jadi pembangkang: Pertaruhan besar?

Kesediaan Umno Negeri Sembilan untuk menjadi pembangkang dilihat sebagai pertaruhan besar menjelang pilihan raya, dengan penganalisis memberi amaran langkah itu berisiko menyebabkan parti itu dihukum rakyat. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata walaupun Umno cuba membingkai pendirian itu sebagai usaha mempertahankan adat dan institusi diraja, namun tindakan itu juga boleh dibaca pengundi sebagai percubaan menekan Pakatan Harapan (PH).

Pedang bermata dua

Beliau memberi amaran keadaan itu boleh menjadi 'pedang bermata dua' kerana Barisan Nasional (BN) mungkin dihukum lebih teruk jika rakyat melihatnya cuba memperalatkan isu institusi diraja untuk kepentingan politik, terutama merebut jawatan menteri besar. "Jika keadaan ini berlaku, Umno/BN berisiko dilihat sebagai parti yang menggali kuburnya sendiri manakala PH boleh membingkai naratif Umno mengkhianati mandat rakyat serta memperalatkan institusi diraja. Perikatan Nasional (PN) berpeluang masuk sebagai alternatif 'lebih bersih' jika perpecahan PH-BN berlarutan," katanya kepada FMT.

Kenyataan Jalaluddin

Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias pada Sabtu lalu berkata parti itu lebih rela menjadi pembangkang daripada duduk dalam kerajaan dan melihat sahaja kesilapan Menteri Besar Aminuddin Harun. Kenyataan beliau itu dibuat ketika Biro Politik Umno beberapa hari sebelumnya memutuskan parti itu kekal menyokong kerajaan perpaduan Negeri Sembilan, walaupun menghormati pendirian 14 Adun BN yang hilang kepercayaan terhadap Aminuddin. 14 Adun itu mendakwa berbuat demikian kerana kegagalan Aminuddin menguruskan krisis institusi adat dan perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Semalam, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata krisis pentadbiran di Negeri Sembilan akan dibincangkan melalui Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang dijadualkan berlangsung minggu ini.

Risiko tiga penjuru

Pada PRN 2023, BN menang 14 kerusi manakala 17 dimenangi PH yang kemudiannya bergabung membentuk pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan dengan majoriti kukuh. Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia turut melihat langkah Umno Negeri Sembilan sebagai berisiko, khususnya kerana BN memperoleh 14 kerusi itu dalam suasana kerjasama dengan PH. Katanya, jika berlaku pertandingan tiga penjuru pada PRU16, Umno belum tentu mampu mengekalkan kedudukan semasa. "Saya percaya Umno tidak boleh menang di Negeri Sembilan jika berlaku tiga penjuru," katanya yang turut berpandangan Umno kini berdepan persepsi hanya mahu mengambil alih kuasa.

Pandangan berbeza

Bagaimanapun, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara melihat pendirian Umno Negeri Sembilan tidak semestinya bercanggah dengan pendirian Umno pusat yang mahu mengekalkan kerjasama dengan PH sehingga PRU16. Katanya, isu di Negeri Sembilan unik kerana membabitkan adat negeri dan Umno Negeri Sembilan mungkin mahu menunjukkan pendirian prinsip menteri besar sepatutnya berkecuali dalam pertikaian berkait institusi adat. Azmi berkata berbanding Johor dan Melaka yang menyaksikan Umno lebih dominan, kedudukan BN dan PH di Negeri Sembilan hampir seimbang. "Dalam hal ini, sama ada Umno menerima kesan negatif bergantung kepada pengundi Negeri Sembilan. Apa yang dinyatakan Jalaluddin adalah pegangan dan prinsip menyokong perlembagaan adat di Negeri Sembilan, sama ada dibaca positif atau negatif, bergantung kepada pengundi," katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga