Permohonan Maaf Setiausaha Akhbar MB Negeri Sembilan
SEREMBAN, 15 Jun — Setiausaha akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd Shah, hari ini memohon maaf kepada Undang Yang Empat berhubung kenyataan yang dibuatnya pada majlis pelancaran jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan pada Jumaat lalu.
Ahmad Shahir berkata, sebagai anak jati Negeri Sembilan yang amat menghormati adat, budaya dan institusi Undang, beliau memandang serius penggunaan gelaran 'Dato' Undang' kerana ia melibatkan sensitiviti institusi Adat Perpatih yang perlu dihormati semua pihak tanpa mengira fahaman politik.
“Saya ingin memulakan dengan memohon maaf kepada Undang Yang Empat atas kenyataan saya secara bergurau dengan Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, di mana saya merujuk gelaran yang digunakan untuk beliau di media sosial, iaitu 'Tok Undang'.
“Berikutan kesilapan ini, saya mengakui kesalahan saya dan berharap perkara ini dapat menjelaskan sebarang salah faham yang timbul,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, PH tetap komited untuk menghormati dan menjunjung maruah institusi Undang sebagai warisan berharga yang menjadi identiti dan kebanggaan Negeri Sembilan. — Bernama



