KUALA LUMPUR, 7 Julai — Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan semula isu lama melibatkan dakwaan azan Subuh mengganggu tidur penduduk di Sungai Buloh, yang tular semula di media sosial baru-baru ini.
Kenyataan polis mengenai isu tular
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata siasatan mendapati hantaran bertajuk Dakwaan Azan Subuh Ganggu Tidur, Adun Buat Laporan Polis merujuk kepada kes lama yang telah disiasat dan diselesaikan mengikut undang-undang.
Beliau menegaskan orang ramai tidak perlu membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang tidak disahkan yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama.
“Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebarkan berita palsu, hasutan atau kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Latar belakang kejadian 2021
Mohd Hafiz berkata hantaran tular itu berkaitan dengan insiden yang berlaku sekitar Jun 2021 melibatkan seorang lelaki bukan Islam yang didakwa memasuki sebuah surau di Puncak Alam tanpa kebenaran.
Insiden itu mendorong seorang bekas ahli dewan undangan negeri (adun) membuat laporan polis selepas menerima aduan mengenai tindakan lelaki tersebut.
Menurut hantaran tular, lelaki yang memakai seluar pendek itu memasuki surau untuk memeriksa kelantangan pembesar suara selepas menerima aduan daripada penduduk bukan Islam lain yang mendakwa azan Subuh mengganggu tidur mereka. — Bernama



