PH yakin kekal kerusi Jementah, PN buru kejutan di kubu DAP
PH yakin kekal kerusi Jementah, PN buru kejutan

SEGAMAT: Pakatan Harapan (PH) yakin dapat mengekalkan kerusi panas Jementah manakala Perikatan Nasional (PN) melihat ada ruang mencipta kejutan di kubu DAP berkenaan, mengambil kira jangkaan perpecahan undi bukan Melayu.

Cabaran perpecahan undi bukan Melayu

Calon PH Ng Kor Sim mengakui berdepan cabaran perpecahan undi bukan Melayu dalam saingan tiga penjuru yang turut membabitkan Saifullah Wahab (PN) dan See Ann Giap (Barisan Nasional) pada PRN Johor 11 Julai depan. Merujuk komposisi pengundi bukan Melayu sekitar 47% manakala 43% pengundi Melayu, Ng yang menang kerusi itu dengan majoriti 714 undi pada PRN empat tahun lalu berharap perkhidmatannya mampu menjadi sandaran menarik sokongan.

Beliau juga yakin pengundi kini lebih matang dan tidak lagi terpengaruh dengan sentimen perkauman. “Saya setuju ini cabaran tetapi sebagai wakil rakyat kita perlu bantu semua kaum tanpa mengira bangsa atau usia,” katanya. Kempen Ng Kor Sim turut dibantu Timbalan Setiausaha Agung DAP Steven Sim.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pengundi lebih bijak, tidak terikut sentimen

“Pengundi sekarang lebih bijak, mereka tidak lagi terikut-ikut sentimen tidak sahih,” katanya kepada FMT sambil menekankan kempennya lebih fokus kepada pembangunan dan keperluan setempat, termasuk generasi muda. “Semua penting Melayu, Cina, Gen Z, Gen Y. Mereka mahu lihat apa perubahan yang kita bawa, bukan soal kaum atau agama,” katanya.

PN intai peluang buat kejutan

Sementara itu, Saifullah Wahab mendakwa ada ruang untuk PN mencipta kejutan berdasarkan sambutan positif dan mengambil kira komposisi pengundi yang agak seimbang. Namun beliau tidak mahu bergantung kepada sokongan pengundi Melayu untuk merampas kubu DAP itu. “Kita fokus kepada semua, tak kira Melayu, Cina, India dan lain-lain di Jementah untuk menyokong PN,” katanya.

Saifullah berkata komposisi pengundi Jementah menuntut pendekatan lebih terbuka kerana hampir separuh pengundi di kawasan itu terdiri daripada bukan Melayu. “Kita mahu sebanyak mungkin sokongan bukan Melayu, selain mendapat sokongan pengundi Melayu yang terdiri daripada 43%,” katanya.

FMT telah menghubungi See Ann Giap untuk mendapat ulasan pertandingan bagi kerusi itu.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga