Pemimpin Bersatu Melaka kecam Adun guna imej tidak sopan
Pemimpin Bersatu Melaka kecam Adun guna imej tidak sopan

Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Hishamuddin Abdul Karim, menggesa Adun Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof, untuk menurunkan dengan segera hantaran media sosial yang menggunakan grafik atau stiker tidak sopan terhadap seorang Exco Melaka.

Beliau menegaskan bahawa tindakan wakil rakyat Bersatu itu tidak mencerminkan etika yang betul dan boleh menjejaskan imej politik serta kepercayaan awam. Hishamuddin berkata, “Saya mendesak semua kandungan media sosial berkaitan, termasuk bahan grafik atau stiker yang menimbulkan kontroversi ini, diturunkan segera bagi mengelakkan salah faham yang berterusan serta meredakan ketegangan awam.”

Semalam, Aleef memuat naik gambar Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Abdul Razak Abdul Rahman, dengan wajahnya ditampal stiker anjing susulan kekecohan di sidang DUN Melaka. Aleef mendakwa Razak, yang juga Adun Telok Mas, gagal menjawab soalan tambahan berhubung status operasi semula projek ‘floating market’ yang didakwanya ditutup sejak setahun lalu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Hantaran Aleef turut ditegur oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, yang menyifatkan tindakan itu tidak mencerminkan adab sebagai seorang Islam dan Melayu, lebih-lebih lagi sebagai wakil rakyat. Semakan FMT mendapati hantaran tersebut masih belum diturunkan, manakala ruangan komen telah ditutup.

Dalam pada itu, Hishamuddin turut merakamkan permohonan maaf terbuka kepada rakyat Melaka dan kepimpinan kerajaan negeri atas insiden berkenaan. Beliau turut memohon maaf secara khusus kepada Abdul Razak atas sebarang keterlanjuran atau ketidakselesaan yang timbul susulan isu itu. “Saya mengecam sebarang bentuk komunikasi politik yang bersifat menghina, memalukan atau merendahkan mana-mana individu. Sebagai wakil rakyat, setiap tindakan dan tutur kata harus mencerminkan integriti, adab serta kematangan dalam berpolitik,” katanya.

Hishamuddin menambah bahawa pemimpin dan ahli parti perlu mengekalkan disiplin komunikasi serta mengamalkan budaya politik yang matang, berhemah dan profesional. “Nama baik parti serta kepercayaan rakyat adalah amanah yang perlu dijaga. Sebarang tindakan yang boleh mencemarkan imej parti hendaklah dielakkan sama sekali,” ujarnya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga