Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir, menegaskan bahawa partinya tidak berhasrat untuk menjadi orang tengah dalam usaha menyatukan semula hubungan antara PAS dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
Pejuang enggan jadi pengantara
Bagaimanapun, Mukhriz berharap hubungan antara kedua-dua parti itu dapat dirapatkan semula demi mengukuhkan PN, terutama dalam menghadapi persaingan politik akan datang. Beliau berkata, sejak Pejuang menyertai PN sebagai parti komponen, pihaknya tidak berdepan sebarang masalah dengan mana-mana parti dalam gabungan itu walaupun PAS dan Bersatu menghentikan kerjasama politik.
“Baru-baru ini Muhyiddin Yassin sendiri turun ke Gambir, dan saya juga bersama PAS di Simpang Jeram. Itu bukti kami tidak ada masalah dengan kedua-dua pihak. Jadi, apakah peranan kami untuk menjadi orang tengah? Saya kira mungkin tidak. Tetapi kita harap hubungan mereka dapat dirapatkan,” katanya kepada FMT ketika ditemui semasa membantu kempen PN di Gambir.
Fokus kepada PN Johor
Mukhriz berkata, perkara paling penting ketika ini adalah semua parti komponen PN di Johor terus bergerak di bawah satu panji gabungan itu. “Yang penting, di Johor kita bertanding bawah satu panji PN,” katanya.
Pada 8 Jun lalu, PAS memutuskan kerjasama dengan Bersatu, namun kedua-duanya kekal dalam PN. Keputusan itu susulan dakwaan Presiden PAS, Hadi Awang, berhubung tindak-tanduk Bersatu yang tidak mengamalkan semangat setia kawan. Hadi merujuk situasi politik di Perlis yang mengakibatkan peralihan jawatan menteri besar dari PAS ke Bersatu, selain bantahan Bersatu terhadap usaha membawa masuk parti tertentu ke dalam PN.



