PAS Perlis menegaskan tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan bekas pemimpin Bersatu yang menyertai Wawasan selagi isu didakwa sebagai 'pengkhianatan' terhadap parti Islam itu tidak diselesaikan. Pesuruhjaya PAS Perlis, Ahmad Ali, berkata pendirian itu diambil bagi mempertahankan prinsip amanah dan kesetiaan dalam kerjasama politik, selain memelihara keyakinan rakyat terhadap integriti perjuangan parti.
Prinsip amanah dan kesetiaan
“PAS Perlis menegaskan kami tidak akan menjalinkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan individu yang berasal daripada Bersatu yang terlibat dengan pengkhianatan kepada PAS kemudian keluar parti Bersatu dan kini menyertai Wawasan, selagi isu pengkhianatan tersebut belum diselesaikan oleh pihak parti Bersatu. Pendirian ini diambil sebagai tanda menghormati prinsip amanah serta bagi memelihara keyakinan rakyat terhadap integriti perjuangan politik,” katanya dalam kenyataan.
Krisis politik Perlis
Krisis politik Perlis menyaksikan peralihan jawatan menteri besar daripada PAS kepada Bersatu. PAS pusat juga mengumumkan Adun daripada parti itu tidak memegang jawatan exco. Pada 4 Jun, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, berkata kerajaan negeri kekal bawah Perikatan Nasional (PN) dan akan terus mentadbir sehingga tamat penggal pilihan raya.
PN menguasai 14 daripada 15 DUN di Perlis dengan PAS mewakili sembilan kerusi manakala Bersatu (5) selain Pakatan Harapan (1). Tetapi tiga kerusi kosong selepas PAS henti keahlian Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Langkah keluar Bersatu
Pada 8 Julai lalu, Abu Bakar dan Adun Sena merangkap exco Perlis, Marzita Mansor meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu. Keesokannya, Ahli Dewan Negara Azahar Hassan umum keluar Bersatu dan melepaskan semua jawatan disandangnya dalam parti itu. Beliau adalah setiausaha Bersatu Perlis dan timbalan ketua parti itu di Kangar. Azahar turut memberi bayangan mungkin menyertai Wawasan pimpinan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin sebagai platform baharu politiknya.
Tindakan terhadap pengkhianatan
Sementara itu, Ahmad berkata isu melibatkan dakwaan pengkhianatan terhadap perjuangan tidak boleh dipandang ringan dan perlu ditangani secara bertanggungjawab. Katanya, Bersatu juga perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu dikenal pasti sebagai dalang kepada pengkhianatan itu, sekiranya terdapat asas serta melalui proses yang sewajarnya. “Selagi tiada penyelesaian atau tindakan yang jelas terhadap perkara tersebut, PAS Perlis berpendirian kerjasama politik dengan kumpulan berkenaan tidak wajar dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata, PAS Perlis kekal memperkukuh kesatuan dalam kalangan rakan gabungan yang benar-benar ikhlas mempertahankan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan negara. “PAS Perlis akan terus berpegang teguh kepada prinsip perjuangan Islam dan membuat setiap keputusan politik berdasarkan maslahah, keadilan serta kepentingan rakyat,” katanya.



