PAS sudah 75 tahun berlawan, Syahir ingatkan Bersatu jangan cabar
PAS 75 tahun berlawan, Syahir ingat Bersatu

PETALING JAYA: Bersatu diingatkan bahawa PAS berpengalaman dalam perlawanan politik, selepas parti pimpinan Muhyiddin Yassin mengumumkan ia sedia berdepan PAS. Setiausaha politik kepada presiden PAS, Syahir Che Sulaiman, menegaskan bahawa parti Islam itu sudah 75 tahun bertarung dalam kancah politik tanah air.

Syahir: Jangan ajak PAS berlawan

“Sekalipun hendak berlawan, jangan diajak. PAS sudah 75 tahun berlawan. Jika sehaluan, jalan seiringan. Terserah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan,” kata Syahir. Beliau mengingatkan bahawa pertembungan antara PAS dan Bersatu hanya akan menguntungkan Pakatan Harapan (PH). “Menang sorak, kampung tergadai,” katanya, sambil menambah bahawa akar umbi dan komuniti Melayu mahu perselisihan diurus “jangan sangat ‘kabilah’ bertembung”.

Dakwaan ada pihak mahu jadi anak tangga PH

Syahir turut mendakwa bahawa pihak yang mahu menjadi ‘anak tangga’ kepada PH mahukan pertembungan berlaku, “seperti yang pernah diusahakan dahulu”. “Ketika itu, PAS menghalang. Harapnya tidak berulang,” katanya tanpa huraian lanjut.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Rundingan kerusi PRN Johor dan Negeri Sembilan

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan akan datang, Syahir berkata rundingan kerusi akan berasaskan prinsip penyandang. “Selebihnya berdasarkan faktor ‘winnability’. Ukur kekuatan jentera, sokongan rakyat, dan penerimaan calon,” katanya. “Adapun perihal logo dan watikah, keputusan majlis tertinggi (PN); tandatangan pengerusi,” tambahnya.

Muhyiddin dakwa mesyuarat PN belum dipanggil

Semalam, Muhyiddin mendakwa Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar belum memanggil mesyuarat bagi membincangkan persediaan pilihan raya, mengingatkan pemimpin PAS itu bahawa mesyuarat sedemikian ‘kritikal’. Muhyiddin turut berkata Bersatu akan bertanding atas lambang PN.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga