Seorang lelaki di Sabah yang mengamuk dan menahan isteri serta anak-anaknya selama tujuh jam minggu lalu telah didakwa di mahkamah majistret Tawau atas tuduhan kurungan salah dan ugutan jenayah.
Salleh Abdul, 38, dilaporkan telah mengurung isteri dan tiga orang anaknya di kuarters pekerja ladang di Kalabakan sebelum mengancam untuk membunuh mereka pada 23 April lalu.
Menurut laporan Borneo Post, Salleh didakwa di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana kurungan salah, dan dia mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan tersebut. Bagaimanapun, bapa kepada empat orang anak itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan ugutan jenayah.
Mahkamah masih belum menjatuhkan hukuman. Majistret Don Stiwin Malanjum menetapkan 26 Mei untuk sebutan kes bagi pertuduhan pertama, dengan jaminan ditetapkan sebanyak RM2,500.
Polis mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk menenangkan Salleh sebelum menyerbu rumah dan menangkapnya. Mereka percaya Salleh berada di bawah pengaruh dadah semasa kejadian itu.
Mahkamah turut memerintahkan Salleh menjalani penilaian mental sebelum prosiding selanjutnya.



