Laungan 'Tolak Umno' bergema dalam sebuah ceramah Pakatan Harapan (PH) di Paroi, Seremban, malam tadi, selepas beberapa pemimpin gabungan itu selesai berucap, walaupun terdapat gesaan berulang untuk bertenang. Ratusan penyokong PH berhimpun berdekatan Stadium Tunku Abdul Rahman di Seremban untuk ceramah itu, dengan ramai berpakaian warna parti masing-masing, termasuk baju PKR biru putih yang tertera perkataan 'Team Tok Min', merujuk Menteri Besar, Aminuddin Harun.
Pemimpin PH Pertahankan Aminuddin
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata tindakan tidak patut didorong emosi, tetapi perlu berlandaskan pemahaman jelas terhadap realiti dalam krisis Negeri Sembilan. 'Terdapat isu membabitkan institusi diraja dan perkara berkaitan Undang. Kami menghormati institusi itu dan tidak mencampuri urusan mereka,' katanya. Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, isu sedemikian perlu diselesaikan dalam institusi diraja itu sendiri. Sehingga itu, tiada keputusan besar dapat dicapai.
'Pertama, menteri besar baharu tidak boleh dilantik kerana upacara angkat sumpah tidak boleh diadakan. Exco baharu juga tidak boleh dilantik. Malah, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh dilakukan. Pentadbiran kekal status quo sehingga perkara ini diselesaikan, maka tidak timbul soal mana-mana pihak akan mengambil alih jawatan menteri besar. Tok Min kekal,' kata Loke yang juga menteri pengangkutan. Tegasnya, beliau memahami kemarahan dan desakan untuk DUN dibubarkan segera, tetapi kerajaan akan terus mentadbir negara dan negeri dengan baik sebelum berdepan pihak pembangkang apabila tiba masa sesuai.
Krisis Politik Negeri Sembilan
Krisis politik di Negeri Sembilan tercetus selepas semua 14 Adun Umno-Barisan Nasional negeri itu menarik balik sokongan kepada Aminuddin atas caranya menangani krisis membabitkan empat Undang dikatakan mahu menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar. Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail, menyifatkan tindakan menarik balik sokongan itu 'amat dikesali'. 'Jika kepentingan rakyat diambil kira, perkara sebegini tidak akan berlaku,' katanya sambil menambah keyakinan perlu terus diberikan kepada kepimpinan (Perdana Menteri) Anwar Ibrahim dan pentadbiran Aminuddin.
Turut berucap dalam ceramah itu Presiden Amanah Mohamad Sabu, Ketua Amanah Negeri Sembilan, MK Ibrahim Abd Rahman, Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah Sabu serta Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari. Anwar tidak menghadiri ceramah itu, tetapi gambarnya dipaparkan dengan jelas pada latar pentas, poster dan program rasmi. Aminuddin yang turut berucap dalam ceramah itu berkata, krisis politik di Negeri Sembilan perlu dijadikan pengajaran kepada ahli parti komponen PH dan penyokongnya untuk kekal bertenang serta bersatu.



