PETALING JAYA: Bersatu tidak boleh dipecat sewenang-wenangnya daripada Perikatan Nasional (PN) kerana tindakan disiplin terhadap parti anggota tertakluk kepada keputusan majlis presiden, kata Marzuki Mohamad.
Bekas pegawai Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin itu berkata, Fasal 7A Perlembagaan PN memperuntukkan bahawa hanya majlis presiden yang dianggotai oleh presiden parti anggota mempunyai kuasa membuat keputusan muktamad berhubung perkara disiplin yang melibatkan komponen gabungan.
“Keputusan majlis presiden pula hendaklah dibuat secara sebulat suara. Jika seorang presiden tidak setuju, maka tiada tindakan boleh diambil,” katanya di Facebook.
Marzuki menambah, majlis presiden juga mempunyai kuasa membuat keputusan muktamad mengenai ketetapan kerusi pilihan raya yang dirujuk oleh Jawatankuasa Rundingan Kerusi. Keputusan berhubung perkara itu juga perlu dipersetujui secara sebulat suara oleh majlis presiden.
Menurutnya, tiada mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan PN yang memberikan kuasa mutlak kepada pengerusi gabungan itu untuk menentukan agihan kerusi pilihan raya atau mengeluarkan watikah calon.
“Jadi, Bersatu tidak boleh dipecat daripada PN sewenang-wenangnya. Pengerusi PN juga tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memberikan watikah calon sesuka hati,” katanya.
Kenyataan Marzuki dibuat selepas Presiden PAS Hadi Awang dan Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar berkata terpulang kepada Bersatu sama ada mahu terus kekal atau meninggalkan gabungan itu. Hadi berkata, PAS sudah membuat keputusan untuk berpisah dengan Bersatu, manakala Samsuri berkata kedudukan parti itu dalam PN akan dibincangkan dalam mesyuarat gabungan akan datang.
Kedua-duanya mengulas perkara itu selepas menghadiri majlis pelancaran Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang diasaskan oleh bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin.



