Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Dr Mohammed Taufiq Johari, mengumumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka membuat beberapa pengumuman khas untuk golongan belia semasa sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 di X Park Sendayan, Rembau, esok.
Beliau berkata, perdana menteri dijadualkan merasmikan program tiga hari yang bertemakan 'Memperkasa Belia MADANI' pada pukul 9 pagi. Beberapa inisiatif juga akan dilancarkan semasa sambutan itu, termasuk Pelan Tindakan Pembangunan Belia yang melibatkan semua kementerian, yang telah dibincangkan dalam Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia dan Sukan.
Menurut beliau, golongan belia digesa hadir beramai-ramai esok pagi kerana HBN turut diadakan secara berperingkat mengikut negeri dan daerah di seluruh Malaysia, dengan sasaran 4.3 juta penyertaan melalui pelbagai program yang dilaksanakan di peringkat kebangsaan.
Beliau menjelaskan, sambutan tahun ini akan menampilkan lima segmen utama, iaitu penciptaan pekerjaan dan peluang pekerjaan, kepimpinan, kesukarelawanan dan pengantarabangsaan, Malaysia aktif, inovasi dan digital, serta budaya, kesenian dan muzik.
Terdahulu, Mohammed Taufiq merasmikan majlis penutupan dan penyampaian hadiah Kejohanan Sukan Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) ke-38 yang diadakan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong, Rembau.
Dalam ucapannya di majlis itu, beliau berkata, kementeriannya komited untuk memastikan bakat lebih daripada 12,000 pelajar IKTBN di seluruh negara terus diperkasa dan digunakan sepenuhnya, sambil memperkukuh kebolehpasaran kerjaya mereka selepas tamat pengajian.
“Mereka adalah aset TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) negara pada masa hadapan. Melihat kepada perkembangan semasa, peluang pekerjaan tidak lagi tertumpu kepada mereka yang cemerlang dalam akademik semata-mata, tetapi bidang berasaskan kemahiran semakin penting dan mesti dikuasai.
“Kita menyasarkan bakat pelajar ini bukan sahaja tertumpu kepada industri tempatan, malah menjadi rebutan di peringkat antarabangsa. Pada masa ini, kadar kebolehpasaran graduan dalam kalangan pelajar ini telah mencapai 97 peratus,” tambah beliau.



