Sultan Selangor hargai Najib bina LRT3, tempelak Guan Eng dan Tony Pua
Sultan Selangor hargai Najib bina LRT3, tempelak Guan Eng

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini merakam penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak kerana bersetuju dengan cadangan baginda membina laluan LRT3 Shah Alam. Pada masa yang sama, baginda menempelak dua pemimpin DAP, Lim Guan Eng dan Tony Pua, kerana menghalang projek tersebut.

Projek LRT3 Bernilai RM16.6 Bilion

Dalam kenyataan rasmi, Sultan Sharafuddin mengingatkan semua pihak bahawa tiada siapa harus cuba mengambil kredit bagi projek bernilai RM16.6 bilion itu, yang dimulakan 10 tahun lalu sebelum berdepan beberapa siri kelewatan, termasuk akibat krisis Covid-19. “Beta tidak mahu lagi ada mana-mana pihak tertentu mengambil kesempatan untuk mendakwa bahawa kejayaan pelaksanaan LRT3 ini adalah hasil usaha mereka semata-mata. Hakikatnya, projek ini merupakan hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor secara keseluruhannya,” menurut titah baginda.

Pelancaran Rasmi oleh Perdana Menteri

Pada Ahad, laluan LRT Shah Alam sepanjang 38km, iaitu fasa ketiga rangkaian pengangkutan bandar itu yang merangkumi 20 stesen dari Johan Setia di Klang ke Bandar Utama di Petaling Jaya, dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Tidak lama selepas berita pelancaran itu, media sosial hangat dengan hantaran yang mengingatkan pemimpin kerajaan mengenai peranan Najib dalam projek berkenaan. Gambar lama turut dimuat naik menunjukkan bekas pemimpin yang dipenjarakan itu ketika majlis pecah tanah pada 2016, yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor ketika itu, Mohamed Azmin Ali.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Kritikan terhadap Guan Eng dan Pua

Dalam kenyataannya, Sultan Sharafuddin mengecam bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan pegawai khasnya Tony Pua kerana mempersoalkan projek berkenaan. Menurut baginda, pembinaan projek itu dihentikan selama 18 bulan susulan perubahan kerajaan pada 2018. Sultan Sharafuddin mengkritik Guan Eng dan Pua kerana mengecilkan kos pelaburan projek tersebut dengan alasan ia projek mega “sedangkan mereka tidak memahami tujuan pembinaan projek LRT3 ini demi memenuhi kehendak dan keperluan rakyat”. “Beta ingin tegaskan bahawa ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah, tetapi ianya projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Beta,” titah baginda.

Teguran Kedua kepada Pemimpin DAP

Ini merupakan kali kedua dalam tempoh kurang dua bulan pemimpin DAP menjadi sasaran teguran Sultan Selangor. Sebelum ini, wakil rakyat Seri Kembangan dari DAP, Wong Siew Ki, dan bekas exco Ronnie Liu ditegur kerana tidak bersetuju dengan titah sultan awal tahun ini untuk mengharamkan industri penternakan babi di seluruh Selangor berikutan aduan orang ramai tentang pencemaran alam sekitar. Pada Mei lalu, Sultan Selangor menggesa Wong dan Liu, selain semua wakil rakyat negeri itu, mendalami pemahaman mereka tentang Rukun Negara dengan kerap melawat Dataran Selangor di Shah Alam, tempat terletaknya Plak Monumen Rukun Negara. Menurutnya, ahli politik perlu “memahami dan menghayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk menghormati Institusi Raja dan menjaga adab dan kesucian”. Susulan itu, Pua, yang juga penasihat dasar kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, mempertahankan Wong dan Liu, sambil berkata titah sultan tidak mempunyai tempat dalam kerangka perlembagaan, di mana kuasa raja-raja Melayu terbatas kepada peranan tertentu.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga