Raja Malaysia anugerah Bintang Jasa Perkasa kepada pegawai JUPEM yang meninggal bertugas
Raja Malaysia anugerah Bintang Jasa Perkasa kepada pegawai JUPEM

KUALA LUMPUR, 1 Jun — Seorang pegawai Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Donysius Gabriel Goh, yang meninggal dunia ketika menjalankan tugas di sempadan Malaysia–Brunei pada Mac lalu, telah dianugerahkan Bintang Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) secara anumerta sebagai mengiktiraf perkhidmatan dan sumbangannya.

Penerima Tunggal

Menurut senarai rasmi penerima darjah, pingat dan penghormatan persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Raja Malaysia, Allahyarham Donysius merupakan satu-satunya penerima anugerah tersebut.

JPP dikurniakan kepada individu yang telah menunjukkan keberanian dan kegagahan luar biasa di luar medan perang.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Elaun Bulanan

Berdasarkan portal Bahagian Istiadat dan Persidangan Antarabangsa (BIUPA) Jabatan Perdana Menteri, penerima JPP berhak mendapat elaun bulanan sebanyak RM1,000. Bagi penerima anumerta, elaun tersebut dibayar secara sekaligus sebanyak RM10,000 kepada waris terdekat.

Pada 17 Mac lalu, Donysius, 36, yang berkhidmat sebagai Pembantu Perkhidmatan Am H1 di Pejabat Topografi Wilayah Miri, Sarawak, dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi sungai di kawasan Ulu Temburong, Lawas, semasa operasi ukur sempadan bersama lima rakan sekerja.

Mayatnya ditemukan kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir diketahui oleh pasukan mencari dan menyelamat pada 25 Mac.

Seramai 161 individu telah dikurniakan darjah persekutuan sempena sambutan hari keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada tahun ini. Istiadat pengurniaan telah diadakan di Istana Negara hari ini. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga