Kerajaan Negeri Pulau Pinang sokong mekanisme DPP untuk urus pelarian
Pulau Pinang sokong mekanisme DPP urus pelarian

GEORGE TOWN, 16 Jun — Kerajaan negeri Pulau Pinang menyokong sepenuhnya pengurusan pelarian yang lebih sistematik dan terkawal di negeri ini, terutamanya melalui mekanisme Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau menegaskan bahawa DPP bukanlah dasar untuk menambah bilangan pelarian di Pulau Pinang, tetapi merupakan mekanisme persekutuan untuk mengenal pasti siapa mereka, di mana mereka berada dan bagaimana mereka dapat dipantau dengan lebih berkesan.

“Bagi kerajaan negeri, keutamaan kami adalah untuk memastikan keselamatan awam, kesejahteraan masyarakat setempat dan pematuhan undang-undang sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Sebelum ini, dalam sidang akhbar, beliau ditanya mengenai komuniti Rohingya di Pulau Pinang. Chow berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan bagi memastikan ketepatan dalam ucapannya mengenai isu tersebut.

“Kerajaan negeri Pulau Pinang sentiasa mengambil pendekatan pragmatik, berhemah dan bertanggungjawab dalam menangani isu pelarian dan pencari suaka di negeri ini, selaras dengan dasar dan keputusan yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan,” katanya.

Merujuk data Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Chow berkata terdapat kira-kira 20,022 pelarian dan pencari suaka di Pulau Pinang setakat Ogos 2023.

Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, termasuk aktiviti jenayah, penyalahgunaan dokumen, pemerdagangan manusia, aktiviti tidak bermoral atau kesalahan imigresen, tanpa mengira siapa yang terlibat.

Beliau berkata semua ini akan ditangani oleh pihak berkuasa mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa tanpa sebarang pengecualian.

Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak menilai isu ini secara objektif dan berdasarkan fakta.

“Isu pelarian adalah cabaran yang dihadapi oleh banyak negara di seluruh dunia, dan memerlukan keseimbangan antara pertimbangan kemanusiaan, keselamatan negara dan kepentingan penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan dan kerajaan persekutuan untuk memastikan pengurusan pelarian dan pencari suaka dilaksanakan secara teratur, berdaftar dan terkawal supaya tidak menjejaskan keselamatan, kestabilan sosial dan kesejahteraan masyarakat.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga