PUTRAJAYA, 15 Jun — Pemulihan bekalan minyak global dijangka mengambil masa walaupun terdapat perjanjian damai antara Amerika Syarikat dan Iran, berikutan kerosakan infrastruktur dan gangguan laluan perdagangan strategik akibat konflik tersebut.
Krisis Geopolitik Beri Kesan Kepada Ekonomi Negara
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata krisis geopolitik global yang berterusan telah memberi kesan signifikan kepada ekonomi negara, terutamanya berkaitan bekalan minyak. Beliau menambah bahawa sebarang perkembangan positif ke arah keamanan amat dialu-alukan.
Namun, beliau menegaskan bahawa kesan terhadap pasaran minyak dan ekonomi global tidak akan berlaku serta-merta, kerana proses pemulihan memerlukan masa.
“Jika benar perjanjian damai dapat dicapai, kesannya mungkin mengambil masa kerana proses membersihkan laluan di Selat Hormuz dan membaiki infrastruktur yang rosak semasa perang. Jadi, ia akan mengambil masa untuk pulih sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi hari ini.
Beliau diminta mengulas perkembangan terkini mengenai perjanjian damai yang dicapai antara Amerika Syarikat dan Iran.
Kepentingan Selat Hormuz
Akmal Nasrullah berkata Selat Hormuz merupakan laluan penting bagi perdagangan minyak global, dan sebarang gangguan di kawasan itu membawa implikasi terhadap kos tenaga dan tekanan inflasi di banyak negara, termasuk Malaysia.
Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Ekonomi akan terus memantau perkembangan dan mengekalkan langkah-langkah mitigasi untuk mengurangkan tekanan ekonomi, termasuk melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
“Di peringkat Kementerian Ekonomi, kami tetap komited untuk meneroka peranan yang boleh kami mainkan bagi mengurangkan tekanan yang berterusan sehingga keadaan memberikan gambaran yang lebih jelas bahawa krisis ini benar-benar telah berakhir,” katanya.
Laporan hari ini menyatakan bahawa Amerika Syarikat dan Iran telah mencapai perjanjian damai yang menyerukan penghentian segera dan kekal operasi ketenteraan di semua zon konflik, termasuk Lubnan, yang secara langsung menandakan berakhirnya konflik di Asia Barat yang telah berlarutan lebih tiga bulan. — Bernama



