Miti Pantau Warga Asing Jalankan Perniagaan Haram, Lindungi PMKS Tempatan
Miti Pantau Warga Asing Berniaga Haram

GEORGE TOWN: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang memantau rapat kegiatan warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram bagi melindungi sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan daripada persaingan tidak adil.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata pemantauan itu selaras arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tindakan penguatkuasaan bersepadu dilaksanakan terhadap aktiviti perniagaan haram khususnya melibatkan warga asing yang melanggar undang-undang negara.

“MITI menerima aduan daripada pemain industri mengenai aktiviti perniagaan haram membabitkan warga asing yang menjejaskan perniagaan tempatan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Perdana menteri mendengar suara pemain industri yang berdepan persaingan tidak adil daripada pihak yang menjalankan perniagaan secara haram, justeru kerajaan mengarahkan tindakan penguatkuasaan besar-besaran terhadap aktiviti tersebut,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog anjuran Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC).

Isnin lepas, Anwar melahirkan kebimbangan terhadap kebanjiran warga asing yang menyalahgunakan visa pelawat dan pelajar untuk menjalankan perniagaan, termasuk dalam sektor PMKS sehingga menjejaskan peluang pekerjaan rakyat.

Sim berkata kerajaan sentiasa mengalu-alukan pelaburan dan perniagaan sah serta mematuhi undang-undang, namun tidak akan berkompromi dengan aktiviti perniagaan haram yang menjejaskan peluang dan pendapatan usahawan tempatan.

Beliau berkata kewujudan peniaga haram menyebabkan PMKS tempatan terpaksa bersaing dalam keadaan tidak seimbang kerana pihak terbabit didakwa tidak membayar cukai, tidak mematuhi pelbagai syarat serta peraturan perniagaan.

Sim berkata terdapat warga asing yang masuk ke negara ini menggunakan kemudahan tertentu termasuk visa ketibaan sebelum menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan secara haram sama ada dalam talian atau fizikal.

“Terdapat satu kes, keseluruhan rantaian industri pelancongan di Sabah dikendalikan oleh kumpulan dari luar negara sehingga manfaat ekonomi tidak dinikmati oleh pemain industri tempatan,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga