KUALA LUMPUR: Ringgit melanjutkan kenaikan hari ini, ditutup tinggi berbanding dolar AS apabila ketidakpastian mengenai konflik di Timur Tengah membebani mata wang Amerika itu.
Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, pelabur mengamalkan pendekatan tunggu dan lihat, kerana pemangkin pasaran utama seterusnya dijangka lebih bergantung kepada perkembangan konflik Timur Tengah berbanding faktor domestik.
“Pelabur memantau sama ada naratif keamanan AS-Iran yang muncul ini tahan lama atau pudar kembali kepada pergolakan tajuk utama yang lain,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, Innes menyatakan bahawa pasaran ekuiti yang lebih kukuh telah memulihkan sebahagian daripada kerugian minggu ini, yang membantu meningkatkan selera risiko serantau.
Sementara itu, Ketua Ekonom Bank Muamalat Malaysia Bhd, Afzanizam Rashid berkata, ringgit didagangkan agak stabil hari ini.
“Rundingan yang berterusan antara AS dan Iran kekal sebagai tumpuan pasaran, dengan West Texas Intermediate (WTI) dan Brent mentah masing-masing turun 2.47% dan 2.39% kepada AS$85.54 (RM347.08) setong dan AS$88.22 (RM357.95) setong,” katanya.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0555/4.0600 berbanding dolar AS daripada penutup semalam pada 4.0650/4.0690.
Pada penutup, mata wang tempatan lebih lembut berbanding sekumpulan mata wang utama. Ia menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.5334/2.5364 daripada 2.5321/2.5347 pada penutup semalam, merosot berbanding pound British kepada 5.4429/5.4489 daripada 5.4325/5.4378 semalam dan jatuh berbanding euro kepada 4.6979/4.7031 daripada 4.6878/4.6924 sebelumnya.
Ringgit juga lebih rendah berbanding rakan serantau. Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1602/3.1640 daripada 3.1556/3.1589 semalam dan turun berbanding baht Thailand pada 12.4105/12.4288 berbanding 12.3331/12.3501 sebelumnya.
Ia juga telah lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 227.0/227.4 daripada 225.9/226.2 semalam dan mengecil berbanding peso Filipina kepada 6.67/6.68 daripada 6.62/6.63 sebelumnya.



