Malaysia Kecam Pelan Perluasan Penempatan Israel Bernilai AS$2.3 Bilion
Malaysia Kecam Pelan Perluasan Penempatan Israel

KUALA LUMPUR, 16 Julai — Malaysia mengecam keras pengumuman terbaru Israel mengenai pelan perluasan penempatan bernilai AS$2.3 bilion di Wilayah Palestin Diduduki. Kementerian Luar Negeri menyifatkan pelan itu sebagai usaha terancang untuk mengukuhkan pendudukan haram rejim Zionis dan menjejaskan hak asasi rakyat Palestin.

Pelanggaran Undang-Undang Antarabangsa

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri pada Khamis, pelan tersebut merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan serangan langsung terhadap prospek keamanan yang adil dan berkekalan. “Tindakan sedemikian menunjukkan pengabaian berterusan Israel terhadap kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan dan Konvensyen Geneva Keempat,” kata kenyataan itu.

Kesan Terhadap Keamanan Serantau

Malaysia menegaskan bahawa rampasan tanah Palestin dan perluasan penempatan secara berterusan hanya akan mengekalkan ketidakadilan, ketidakstabilan dan meningkatkan ketegangan di rantau ini. “Rakyat Palestin telah menanggung dekad pendudukan, perampasan dan pelanggaran sistematik terhadap hak asasi mereka,” tambah kenyataan itu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Kementerian menekankan bahawa perluasan penempatan rejim itu tidak boleh dibenarkan dengan sebarang alasan. “Sebaliknya, ia jelas mencerminkan usaha terancang untuk menafikan hak sah dan tidak terpisah rakyat Palestin, termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri dan hak untuk memiliki negara Palestin yang merdeka dan berdaulat di wilayah Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur,” katanya.

Seruan Kepada Komuniti Antarabangsa

Malaysia menyeru komuniti antarabangsa dan PBB untuk menolak dan mencabar pelan perluasan ini secara jelas. Malaysia juga mengulangi sokongan lamanya terhadap penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga