Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa hubungan baik Malaysia dengan kuasa besar dunia seperti China dan Amerika Syarikat tidak pernah melemahkan pendirian negara dalam mempertahankan prinsip nasional mengenai isu antarabangsa.
Dasar berkawan tanpa kompromi prinsip
Beliau menjelaskan bahawa Malaysia mengamalkan dasar berkawan dengan semua negara sambil tetap tegas dalam menjaga kepentingan negara, termasuk dalam hal perdagangan, pelaburan dan penguatkuasaan undang-undang.
"Kita berkawan dengan semua tetapi kita menjaga prinsip. Jika mereka (Israel) melakukan kesalahan terhadap Gaza, kita akan kata itu salah," katanya ketika berucap pada ceramah umum Pakatan Harapan (PH) "Keadilan Untuk Bangsa Johor" di Muar, malam tadi.
Manfaat hubungan dengan China
Anwar berkata hubungan erat Malaysia dengan China, misalnya, telah membawa manfaat dalam perdagangan, pelaburan dan pendidikan, tetapi kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang negara.
"Kita ada hubungan baik dengan China kerana China baik dengan kita. Kita boleh berdagang, berniaga dan hantar anak-anak kita ke sana untuk belajar. Namun, jika ada pihak yang melanggar peraturan dan menjalankan perniagaan tanpa permit, kita tetap akan ambil tindakan. Kita berkawan, tetapi kita akan sentiasa lindungi kepentingan negara," katanya.
Peranan Malaysia di peringkat antarabangsa
Anwar berkata hubungan baik yang dijalin Malaysia dengan pelbagai negara, termasuk Pakistan, Arab Saudi, Turkiye, Mesir, China dan Amerika Syarikat membolehkan negara memainkan peranan yang lebih efektif di peringkat antarabangsa tanpa mengorbankan kepentingan nasional.
Perdana Menteri berkata pendirian Malaysia amat dihormati di peringkat antarabangsa memandangkan negara telah menjadi tuan rumah kepada ramai pemimpin dunia utama baru-baru ini, termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Walaupun Malaysia bukan negara besar, pemimpin dunia seperti Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri China Li Qiang memilih untuk mengadakan lawatan rasmi di sini.
Pendekatan diplomasi mesra dipertahankan
Anwar juga menolak kritikan terhadap pendekatan diplomasi mesra yang diamalkannya semasa menerima pemimpin asing, menegaskan bahawa hubungan baik dengan pemimpin dunia adalah penting untuk mengukuhkan kerjasama dan mewujudkan lebih banyak peluang untuk negara.
"Keutamaan saya adalah melindungi kepentingan rakyat Malaysia dan memastikan negara dihormati di peringkat global," tambahnya. — Bernama



