MOF Tegaskan Dana Pemulihan Aset Diguna Khusus untuk Hutang 1MDB dan SRC
Dana Pemulihan Aset Khusus untuk Hutang 1MDB dan SRC

KUALA LUMPUR, 17 Julai — Kerajaan menegaskan bahawa penggunaan dana Akaun Amanah Pemulihan Aset adalah mengikut Arahan Amanah yang diluluskan dan hanya untuk tujuan yang dibenarkan, termasuk menampung kos operasi dan membayar hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta SRC International Sdn Bhd.

Penggunaan Dana Patuh Arahan

Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan bahawa penggunaan dana tersebut turut merangkumi pembayaran balik pendahuluan pemegang saham kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan), yang telah diberikan untuk memenuhi kewajipan kewangan kedua-dua syarikat berkenaan.

“Sehubungan itu, dakwaan bahawa berlaku penyelewengan dana Akaun Amanah Pemulihan Aset adalah tidak berasas memandangkan semua penggunaan dana adalah mengikut tujuan, skop dan tadbir urus yang ditetapkan di bawah Arahan Amanah yang sedang berkuat kuasa,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen semalam.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Jawapan kepada Soalan Tampin

MOF menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin), yang meminta kementerian menjelaskan sejauh mana kebenaran dakwaan penyelewengan dana, memandangkan dana dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset bertujuan memenuhi kewajipan kewangan akibat hutang dan komitmen 1MDB dan SRC.

Menjawab soalan Mohd Isam tentang peningkatan hasil bukan cukai dalam Laporan Ekonomi Malaysia bagi suku pertama (S1) 2026, kementerian memaklumkan anggaran hasil kerajaan untuk 2026 adalah RM343.1 bilion, terdiri daripada RM270.4 bilion hasil cukai dan RM72.7 bilion hasil bukan cukai.

Peningkatan Hasil Bukan Cukai

MOF berkata hasil bukan cukai S1 2026 meningkat 22.9 peratus kepada RM18.8 bilion berbanding RM15.3 bilion bagi tempoh sama 2025.

“Hasil cukai merangkumi kutipan cukai langsung dan cukai tidak langsung, manakala hasil bukan cukai adalah penerimaan daripada kutipan termasuk lesen, yuran pendaftaran dan permit, yuran perkhidmatan, hasil daripada jualan barang, sewa, faedah dan hasil daripada pelaburan, denda dan penalti serta derma.

“Jumlah hasil bukan cukai dalam tempoh itu disumbangkan oleh, antara lain, penerimaan lesen dan permit, dividen Petronas dan dividen daripada Bank Negara Malaysia,” kata kementerian itu. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga