Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik pada pagi esok bagi proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di kebanyakan kawasan negeri ini.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata cuaca cerah dijangka berlaku pada waktu pagi di Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin, manakala Port Dickson dan Seremban dijangka mengalami hujan.
Bagaimanapun, katanya, ribut petir dijangka melanda kebanyakan daerah pada sebelah petang hari penamaan calon.
Hujan bersifat sementara
“Berdasarkan data terkini, hujan dijangka bersifat sementara dan tidak ketara. Ia dijangka hujan renyai yang singkat, bukan hujan lebat berpanjangan,” katanya kepada Bernama.
Suhu minimum di seluruh negeri dijangka antara 23 hingga 24 darjah Celsius, manakala suhu maksimum diramal antara 32 hingga 33 darjah Celsius.
Mohd Hisham menasihatkan orang ramai termasuk calon, penyokong dan petugas pilihan raya supaya mendapatkan kemas kini cuaca terkini melalui laman web MetMalaysia di www.met.gov.my bagi maklumat ramalan yang paling tepat.
Proses penamaan calon
PRN Negeri Sembilan akan bermula esok dengan proses penamaan calon di lapan pusat penamaan yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 10 pagi, diikuti pengumuman rasmi calon yang disahkan oleh pegawai pengurus.
Setakat ini, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan akan bertanding di semua 36 kerusi DUN — dengan PKR diberikan 16 kerusi, diikuti DAP 11 kerusi dan Amanah sembilan kerusi. Sementara itu, Barisan Nasional (BN) akan bertanding di 25 kerusi, terdiri daripada 16 kerusi UMNO, tujuh MCA dan dua MIC.
Perikatan Nasional (PN) juga mengumumkan akan bertanding di 11 kerusi, mencalonkan lima calon dari PAS, empat dari Parti Wawasan Negara (Wawasan), dan masing-masing satu dari Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Penyertaan parti lain
Turut mengumumkan penyertaan dalam pilihan raya ini ialah Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), masing-masing mencalonkan seorang calon.
Hari ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka mengumumkan senarai calonnya untuk pilihan raya negeri.
Dewan Undangan Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi telah dibubarkan pada 5 Jun, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Julai sebagai hari pengundian awal dan 1 Ogos sebagai hari pengundian.
Statistik pengundi
Menurut daftar pemilih yang dikeluarkan SPR, seramai 889,490 pengundi layak membuang undi dalam pilihan raya negeri akan datang.
Daripada jumlah itu, 867,151 adalah pengundi biasa, manakala 16,884 adalah anggota tentera dan pasangan mereka, dan 5,455 adalah anggota polis yang layak mengundi awal.
Untuk kemas kini terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.



