Selangor kaji kategori 'edu-entertainment' kurangkan duti hiburan taman permainan kanak-kanak
Selangor kaji 'edu-entertainment' untuk taman permainan kanak-kanak

SHAH ALAM, 22 Jun — Kerajaan negeri Selangor sedang mengkaji cadangan untuk mengklasifikasikan semula taman permainan kanak-kanak dalaman sebagai 'edu-entertainment' bagi membolehkan pengurangan duti hiburan yang dikenakan ke atas premis tersebut.

Aduan pengusaha taman permainan kanak-kanak

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Ng Suee Lim, berkata kajian itu dimulakan berikutan aduan daripada pengusaha yang dikehendaki membayar duti hiburan sehingga RM6,390 setiap tahun, walaupun aktiviti yang ditawarkan mengandungi elemen pendidikan.

“Saya mengambil maklum perkara itu. Malah, banyak libat urus sudah diadakan. Memandangkan ia berada di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 1995, ia perlu dikaji semula secara menyeluruh.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Kami juga sedang meneliti keperluan untuk memperkenalkan kategori duti baharu, iaitu 'edu-entertainment'. Ini akan membolehkan kami mengatasi kekangan di bawah enakmen dan mengurangkan kadar duti,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Rujuk Pulau Pinang sebagai model

Bagi tujuan itu, Ng berkata Selangor akan mengadakan sesi libat urus dengan Pulau Pinang, kerana negeri itu berjaya memperkenalkan klasifikasi 'edu-entertainment' tanpa meminda enakmennya.

Ng berkata jika pindaan kepada enakmen diperlukan, proses itu akan memakan masa dan melibatkan pelbagai peringkat.

Kebimbangan Persatuan Taman Tema dan Tarikan Keluarga Malaysia

Sebelum ini, Persatuan Taman Tema dan Tarikan Keluarga Malaysia (Matfa) telah mendesak kerajaan negeri Selangor untuk mengkaji semula cadangan mengklasifikasikan taman permainan kanak-kanak di bawah kategori lesen hiburan, kerana ia akan menyebabkan kenaikan mendadak yuran lesen tahunan.

Presiden Matfa, Tan Sri Richard Koh, berkata pengklasifikasian semula yang dicadangkan akan menyebabkan yuran tahunan meningkat hampir 13 kali ganda, memberikan tekanan kewangan tambahan kepada pengusaha kemudahan taman permainan kanak-kanak yang menyediakan ruang rekreasi mampu milik untuk keluarga, terutamanya golongan B40 dan M40. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga