KPM sedia 2,596 bilik darjah baharu, ambil 3,150 guru kontrak untuk ambilan 2027
KPM sedia bilik darjah dan guru untuk ambilan 2027

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mempercepat persiapan bagi menampung kemasukan dua kohort Tahun Satu pada sesi persekolahan 2027, termasuk pembinaan 2,596 bilik darjah baharu dan pengambilan 3,150 guru secara kontrak perkhidmatan (COS), berdasarkan angka pendaftaran semasa.

Permohonan pendaftaran meningkat 12 peratus

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh memaklumkan bahawa KPM telah menerima 73,386 permohonan pendaftaran Tahun Satu untuk kanak-kanak berusia enam tahun bagi sesi 2027, manakala jumlah kanak-kanak berusia tujuh tahun pula adalah sebanyak 405,033.

Beliau berkata jumlah keseluruhan 478,419 permohonan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 12.07 peratus berbanding enrolmen Tahun Satu pada 2026 yang hanya melibatkan kohort berusia tujuh tahun.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pembinaan bilik darjah menggunakan kaedah IBS

“Justeru, KPM melaksanakan pelbagai langkah persiapan termasuk pembinaan bilik darjah baharu menggunakan kaedah modular Sistem Bangunan Berindustri (IBS) di 838 buah sekolah, dengan projek dijangka siap tahun ini,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan daripada Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu).

Pilihan ibu bapa untuk kohort enam atau tujuh tahun

Mengenai penyelarasan antara pendidikan prasekolah dan tadika serta kesediaan murid daripada latar belakang pendidikan awal yang berbeza, Wong berkata ibu bapa diberi pilihan untuk menentukan kesediaan anak mereka sama ada menyertai kohort enam tahun atau kekal dalam kohort tujuh tahun.

Beliau berkata KPM juga telah menambah 350 kelas prasekolah tahun ini, berbanding kira-kira 150 kelas setahun sebelum ini, bagi memastikan akses yang lebih luas kepada pendidikan prasekolah, terutamanya bagi keluarga B40 yang tidak mampu membayar tadika swasta.

Implikasi kepada tadika swasta

Pada masa sama, beliau berkata kementerian sedang meneliti implikasi terhadap kelestarian tadika swasta susulan kehilangan satu kohort, manakala sesi libat urus dengan pihak berkepentingan masih diteruskan.

Menjawab soalan tambahan daripada Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengenai latihan guru untuk murid berusia enam tahun dan unjuran kekurangan guru mengikut negeri, Wong berkata KPM mempunyai unjuran lima tahun keperluan guru di peringkat kebangsaan dan negeri.

Lantikan guru dan program transisi

Beliau berkata selain guru COS, kementerian juga akan melantik calon simpanan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk memenuhi keperluan semasa, sambil memperkukuh latihan profesional sebagai persediaan menerima kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu.

“Pada masa sama, kami akan menggunakan sepenuhnya program transisi Tahun Satu untuk menyokong penyesuaian murid dan memastikan kurikulum persekolahan 2027 yang akan dilaksanakan tahun depan bersesuaian dengan tahap perkembangan dan keperluan murid,” tambahnya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga