NPE 2 bernilai RM1.7 bilion guna sistem tol MLFF tanpa palang
NPE 2 RM1.7b guna MLFF tanpa palang

Projek Sambungan Lebuhraya Pantai Baharu (NPE 2) bernilai RM1.7 bilion akan menggunakan sistem kutipan tol tanpa palang atau Multi-Lane Free Flow (MLFF) sebaik siap sepenuhnya bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, terutama pada waktu puncak.

Butiran projek dan jadual siap

Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Tol IJM Corporation Berhad (IJM), Chua Lay Hoon, berkata projek yang dijangka siap sepenuhnya pada 2029 itu membabitkan laluan utama sepanjang 6.4 kilometer (km) atau 15 km secara keseluruhan, termasuk ramp dari Plaza Tol Pantai Dalam ke Jalan Istana di sini.

Beliau berkata projek itu kini pada tahap kira-kira enam peratus, merangkumi kerja reka bentuk dan pemodelan, dengan kerja fizikal di tapak pembinaan bermula bulan lalu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Persediaan untuk MLFF

“Sekiranya MLFF belum dilaksanakan selepas projek ini siap, peralihan kepada sistem tol lain boleh dilakukan dengan perubahan pada peralatan kutipan tol tanpa memerlukan pengubahsuaian besar,” katanya pada taklimat khas mengenai Projek Sambungan NPE 2 bersama media di sini hari ini.

Chua berkata projek sambungan lebuh raya itu akan mengukuhkan rangkaian lebuh raya bersepadu di Lembah Klang melalui sambungan lebih baik antara NPE, Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Istana-Kiara (LIKE) yang dicadangkan, selaras dengan aspirasi Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040.

Pengurusan trafik semasa pembinaan

Mengulas mengenai pengurusan trafik semasa kerja pembinaan, Chua berkata Pelan Pengurusan Trafik (TMP) yang komprehensif akan dilaksanakan sepanjang tempoh itu bagi memastikan aliran trafik lancar dan keselamatan pengguna jalan raya.

“Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk pemantauan trafik masa nyata, koordinasi dengan agensi berkaitan, penutupan jalan berjadual dan lencongan yang hanya akan dijalankan semasa waktu luar puncak atau pada waktu malam, serta penyediaan pasukan pengurusan trafik khusus.

“Keselamatan pengguna jalan raya, pekerja binaan dan komuniti berhampiran kekal menjadi keutamaan sepanjang tempoh pembinaan sambil meminimumkan gangguan kepada pengguna lebuh raya,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga