ARAU: Kementerian Perpaduan Negara mengangkat agenda pembinaan Negara Bangsa sebagai fokus utama bagi jangka pendek dan panjang mulai tahun ini. Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, menegaskan bahawa Negara Bangsa amat penting bagi Malaysia pada masa kini kerana ia menjadi asas kepada keamanan, perpaduan, kestabilan dan keharmonian sebuah negara yang majmuk.
“Kementerian melalui beberapa siri libat urus bersama pakar akademik dan sejarah telah menetapkan definisi Negara Bangsa, iaitu negara berdaulat yang warganya memiliki identiti nasional dan berkongsi nilai sepunya berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Sejarah Nasional 2026: Bersama Membina Negara Bangsa di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) hari ini. Majlis perasmian disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Libat Urus Pelbagai Pihak
Aaron berkata, bagi memastikan aspirasi Negara Bangsa itu benar-benar sampai kepada rakyat dan diterima semua pihak, kementeriannya akan terus melaksanakan beberapa sesi libat urus, perbincangan meja bulat, sesi dialog awam serta penganjuran Persidangan Negara Bangsa. “Penganjuran persidangan ini akhirnya akan menghasilkan satu Rangka Tindakan Negara Bangsa untuk rujukan semua pihak, terutamanya agensi kerajaan dalam membuat dasar atau inisiatif baharu,” jelasnya.
Kepelbagaian Sebagai Kekuatan
Menurut Aaron, Malaysia adalah sebuah negara yang berdiri megah atas asas kepelbagaian dengan lebih 200 etnik, kaya dengan identiti, bahasa, budaya, keunikan dalam makanan serta tarian dan seni muzik. Kepelbagaian itu bukan sekadar realiti sosial, malah menjadi kekuatan utama yang membentuk wajah Malaysia sebagai sebuah negara yang unik di persada dunia. Namun, mengurus kepelbagaian berkenaan bukan sesuatu yang mudah; ia memerlukan kefahaman, rasa hormat serta penerimaan berterusan daripada semua pihak untuk memastikan keharmonian terus terpelihara.
“Dalam realiti global yang semakin mencabar hari ini yang melibatkan perbezaan ideologi, pengaruh media sosial, politik identiti serta tekanan globalisasi, pembinaan negara bangsa memainkan peranan yang amat penting. Ia menjadi asas dalam menyatukan rakyat melalui perkongsian identiti nasional, tanpa menafikan kepelbagaian kaum, agama dan budaya,” tegasnya.
Konvensyen yang berlangsung dua hari bermula hari ini menghimpunkan pengkaji dan pengamal sejarah untuk berkongsi penemuan, pandangan serta wacana ilmiah yang dapat memperkayakan naratif sejarah negara.



