Seorang murid lelaki Tahun 5 cedera selepas dipercayai jatuh dari bumbung tingkat tiga sebuah sekolah di Kuala Nerang, Padang Terap, ketika cuba menangkap seekor burung merpati petang semalam.
Kejadian berlaku semasa kelas Kafa
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Anuar Junoh, berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang guru kira-kira jam 4 petang. Menurut laporan Kosmo, siasatan awal mendapati kejadian itu adalah kemalangan dan tiada unsur jenayah.
“Mangsa dipercayai jatuh ketika cuba menangkap burung dan mengalami kecederaan pada lengan kiri. Dia kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar,” katanya seperti dipetik.
Mangsa naik ke bumbung melalui pili bomba
Kejadian dipercayai berlaku ketika murid tersebut berada di sekolah pada waktu petang untuk menghadiri kelas Quran dan Fardu Ain (Kafa). Dia dipercayai memanjat ke bumbung tingkat tiga menggunakan laluan pili bomba dalam usaha menangkap burung merpati.
Polis menasihatkan ibu bapa dan pihak sekolah supaya sentiasa mengawasi pergerakan murid-murid, terutamanya semasa waktu rehat atau selepas waktu persekolahan, bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.



