KUALA LUMPUR, 16 Mei — Program Jelajah Rukun Negara 2026 akan dilaksanakan mulai bulan ini hingga Oktober, melibatkan 15 institusi pengajian tinggi terpilih di seluruh negara dalam usaha memperkukuh perpaduan, patriotisme, dan keyakinan diri belia Malaysia.
Menteri Perpaduan Negara umum pelaksanaan program
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata program ini dilaksanakan melalui pendekatan interaktif dan berasaskan pengalaman untuk memperkukuh penghayatan nilai-nilai Rukun Negara dalam kehidupan seharian.
“Usaha ini juga memberi penekanan kepada pembinaan nilai, integriti, dan keyakinan diri dalam kalangan belia sebagai asas memperkukuh perpaduan dan membina negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Butiran program dua hari satu malam
Aaron turut memuat naik infografik mengenai program yang dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional ini, yang menyasarkan penyertaan belia berusia 18 hingga 30 tahun.
Setiap siri program akan berlangsung selama dua hari satu malam dengan kandungan berdasarkan empat tema utama, iaitu ‘Kenapa dan Mengapa’, ‘Menjunjung Rukun Negara’, ‘Meraikan Kepelbagaian’, dan ‘Pembinaan Nilai dan Jati Diri’.
Tumpuan kepada penghayatan nilai patriotisme
Menurut infografik tersebut, tema-tema ini memberi tumpuan kepada pemahaman tentang nasionalisme dan kepentingan Rukun Negara sebagai asas perpaduan negara, serta menghargai dan mengamalkan nilai-nilai Rukun Negara dalam kehidupan seharian.
Ia juga menekankan penghayatan terhadap kepelbagaian sebagai kekuatan dalam memperkukuh perpaduan dan pembentukan nilai, integriti, serta identiti yang berlandaskan semangat patriotisme. — Bernama



