Kerajaan pertimbang geran padanan RM5 juta bangkit semula memorial negarawan
Geran RM5 juta untuk bangkit semula memorial negarawan

KOTA KINABALU, 13 Jun — Kerajaan akan mempertimbangkan untuk menyediakan Geran Padanan bernilai RM5 juta di bawah Bajet 2027 bagi menyokong usaha memperkukuh identiti nasional, patriotisme dan perpaduan negara.

Inisiatif Memorial Negarawan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif yang diuruskan oleh Arkib Negara Malaysia itu merangkumi usaha menghidupkan semula 10 memorial negarawan di seluruh negara dan mempercepatkan pendigitalan khazanah sejarah negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata inisiatif itu melibatkan penganjuran pameran interaktif di kawasan tumpuan awam seperti institusi pendidikan, pusat beli-belah dan hab pengangkutan awam.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Saya juga ingin mencadangkan kepada Kerajaan Sabah untuk mempertimbangkan penyediaan tapak yang sesuai bagi pembangunan Memorial Negarawan Sabah bagi menghargai jasa dan pengorbanan tokoh yang membentuk sejarah negeri dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Minggu Perpaduan Nasional peringkat kebangsaan di Kompleks Sukan Likas di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menteri persekutuan dan negeri serta pegawai kanan kerajaan.

Geran Aktiviti untuk IPT dan Sekolah

Anwar berkata Kerajaan MADANI juga akan menyediakan geran aktiviti berjumlah RM10,000 kepada 189 Sekretariat Rukun Negara di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara untuk melaksanakan program kenegaraan, patriotisme dan perpaduan dalam kalangan pelajar.

Selain itu, geran RM5,000 akan disediakan kepada 6,849 Kelab Rukun Negara di sekolah bagi menghidupkan semula amalan dan penghayatan prinsip Rukun Negara sejak peringkat awal persekolahan.

“Inisiatif ini akan melahirkan lebih ramai Duta Muda Rukun Negara, memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum.

“Ia juga akan mengaktifkan semula pelaksanaan Pelan Integrasi Pelajar untuk Perpaduan sebagai platform interaksi dan integrasi nasional yang lebih berkesan,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan bahawa semua inisiatif ini bertujuan untuk terus memperkukuh penghayatan dan budaya Rukun Negara dalam kalangan generasi muda.

Amanat Perpaduan

Sementara itu, Anwar mengingatkan rakyat supaya tidak leka atau menganggap perpaduan akan kekal dengan sendirinya tanpa usaha berterusan untuk memupuk dan memeliharanya.

Beliau berkata masyarakat yang telah lama menikmati keamanan kadangkala terlepas pandang bahawa terdapat pelbagai pengaruh yang boleh menghakis nilai kebersamaan dan menyemai sentimen yang bercanggah dengan semangat perpaduan.

Sehubungan itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perpaduan Negara atas peranan pentingnya dalam memupuk semangat perpaduan sejak penubuhannya tiga tahun lalu.

“Jangan leka dan anggap perpaduan akan kekal dengan sendirinya; perpaduan perlu dipupuk dan dipertahankan daripada sebarang usaha yang boleh memecahbelahkan masyarakat,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga